Berita Hari Ini

Saksi penderaan Bella, Jasmin pernah tujuh kali lari dari Rumah Bonda

 Saksi kelima kes penderaan seorang kanak-kanak perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella, Yasmin Nahar Mahmood, 19, pernah lari dari Rumah Bonda sebanyak tujuh kali.

Saksi terbabit pernah tinggal di pusat perlindungan tersebut selama tiga tahun bermula pada usia 15 tahun.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini turut diberitahu, Yasmin telah dijemput oleh pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali dari wad psikiatri Hospital Kuala Lumpur ketika saksi sedang sarat mengandung lapan bulan.

Perkara tersebut dimaklumkan ketika peguam Siti Bainun, Datuk Farhan Maarof melakukan sesi soal balas terhadap Yasmin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang masuk hari kesembilan perbicaraan.

Dalam sesi soal jawab tersebut, Farhan mencadangkan kepada Yasmin bahawa bapanya memujuknya untuk kembali semula ke Rumah Bonda dan Siti Bainun juga pernah menjemput Jasmin untuk pulang selepas beliau melarikan diri dari pusat perlindungan tersebut.

Peguam: Kalau saya cadangkan kepada Yasmin bapa Yasmin sendiri telefon Bainun untuk ambil Yasmin. Yasmin setuju atau tidak.

Jasmin: Tidak.

Peguam: Dalam keterangan Yasmin, Yasmin juga ada katakan Yasmin telah melarikan diri sebanyak tujuh kali sepanjang tempoh tinggal di Rumah Bonda.

Jasmin: Setuju.

Peguam: Ada beberapa kali ketika Yasmin melarikan diri dalam keterangan Yasmin sendiri, ada beberapa kali Siti Bainun datang ambil semula. Setuju?

Jasmin: Soalan tidak jelas, maksud?

Peguam: Dalam tujuh kali lari, mesti Bainun datang ambil Yasmin balik. Setuju?

Jasmin: Setuju.

Farhan turut memberitahu Siti Bainun menemani Jasmin dan  memberikan sokongan moral kepada saksi itu yang hadir di mahkamah ketika kekasih Jasmin dijatuhkan hukuman kerana merogol.

Pada Jumaat lepas, Yasmin memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia menggigit perut Bella selepas diarahkan Siti Bainun yang juga pengasas Rumah Bonda.

Dalam keterangannya itu, Yasmin mendakwa Siti Bainun menjadi geram kerana Bella enggan mengikut arahan dan memintanya mengambil picagari berisi air panas dan memberikan (pancut) pada Bella.

Sementara itu, Farhan dalam sesi soal balas kepada Jasmin turut mencadangkan kepada saksi tersebut bahawa penderaan terhadap Bella tidak dilakukan oleh Siti Bainun.

Sebaliknya, penderaan terhadap kanak-kanak kurang upaya itu telah dilakukan oleh Jasmin dan seorang rakannya.

Peguam: Saya ada teori, ini arahan Siti Bainun kepada saya. Saya cadangkan bahawa Yasmin dengan Aida yang mendera Bella pada setiap hari. Setuju atau tidak.

Yasmin: Tidak.

Peguam: Saya cadangkan apa yang Yasmin cerita dalam 42 muka surat kenyataan ini, segala yang terjadi ini adalah apa yang Yasmin lakukan sendiri bersama-sama dengan Aida. Setuju atau tidak.

Yasmin: Tidak.

Peguam: Dan saya cadangkan kenapa keterangan Yasmin sangat details, sangat on point kerana perkara ini adalah pengalaman Yasmin bersama dengan Aida sendiri. Setuju atau tidak.

Yasmin: Tidak.

Peguam: Saya cadangkan kepada Yasmin bahawa Siti Bainun tahu perkara ini tetapi bertindak untuk mendiamkan diri kerana melindungi Yasmin. Setuju atau tidak.

Yasmin: Tidak.

Dalam perbicaraan yang bermula kira-kira 12.30 tengah hari itu Yasmin mengulangi ketegasnnya bahawa Siti Bainun adalah pelaku terhadap penderaan Bella.

Perbicaraan bersambung pukul 9.30 pagi esok. Siti Bainun diwakili oleh lapan orang peguam sementara pihak pendakwaan terdiri daripada empat Timbalan Pendakwa Raya.

Pihak pendakwa dijadual membawa 20 saksi bagi kes berkenaan.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung 9.30 pagi esok.-MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");