Berita Hari Ini

Chegubard pula tarik balik ‘posting’, menyesal dan minta maaf dari Tony Pua

Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegubard telah menarik balik ‘posting’ tuduhan fitnah ke atas Tony Pua dan menyesal atas perbuatannya serta memohon maaf kepada pemipinan DAP itu.

“Maka sehubungan dengan ini saya meminta maaf secara terbuka, menyesal dengan apa yang berlaku dan mengakui gagal membuktikan apa yang dibangkitkan dalam Siaran Facebook Pertama dan Siaran Facebook Kedua tersebut tersebut.

“Oleh demikian, saya ingin menarik balik Siaran Facebook Pertama dan Siaran Facebook Kedua tersebut dan Dakwaan-Dakwaan tersebut secara keseluruhan dan sepenuhnya.

“Saya juga amat menyesali tindakan saya tersebut dan ingin memohon maaf dengan sepenuhnya kepada Yang Berhormat En. Tony Pua Kiam Wee dan DAP atas perkataan-perkataan yang mungkin boleh disifatkan fitnah dengan dakwaan-dakwaan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Chegubard juga mengaku janji untuk tidak mengulangi, menerbitkan atau menyiarkan semula perkataan-perkataan fitnah dan atau dakwaan-dakwaan terbabit.

Pada 23.8.2019 Chegubard telah menulis dan menerbitkan tulisan di laman Facebooknya, “Che’GuBard Original”, suatu siaran yang bertajuk “Siri Pembunuhan Angsa Bertelur emas (1) : Sime Darby” (“Siaran Facebook Pertama”).

Siaran Facebook Pertama tersebut mengandungi perkataan-perkataan yang boleh dianggap fitnah terhadap dan berkaitan dengan YB Tony Pua Kiam Wee dan DAP.

Selanjutnya, pada 5.9.2019, beliau telah menulis dan menerbitkan tulisan “Che’GuBard Original” suatu siaran yang tidak bertajuk (“Siaran Facebook Kedua”) dan telah menerbitkan semula Siaran Facebook Kedua ini di profil Facebook yang lain iaitu “Che’GuBard”, turut mengandungi perkataan-perkataan yang boleh dianggap fitnah terhadap Tony Pua Kiam Wee dan DAP.

Melalui perkataan-perkataan fitnah yang terkandung dalam Siaran Facebook Pertama dan Kedua tersebut, Chegubard telah mendakwa antara lainnya, bahawa Tony Pua Kiam Wee:-

(i) adalah terlibat dalam agenda untuk menjarah dan/atau menguasai aset negara dan syarikat milikan Bumiputera (khususnya Sime Darby Berhad, Sime Darby Property Berhad dan Sime Darby Plantation Berhad) untuk kepentingan orang bukan Bumiputera;

(ii) telah mungkin menyalahgunakan kedudukannya di Kementerian Kewangan dengan mempengaruhi, melobi dan/atau menyebabkan pelantikan Dato’ Voon Tin Yow sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property dengan gaji yang sangat tinggi;

(iii) telah menyalahgunakan kedudukannya di Kementerian Kewangan untuk melaksanakan agenda-agendanya;

(iv) bahawa Yang Berhormat En. Tony Pua Kiam Wee merupakan dalang DAP (‘Democratic Action Party’) untuk mempengaruhi Tun Dr Mahathir bin Mohamad dalam isu berkaitan dengan mencairkan pegangan Bumiputera; dan

(v) oleh demikian, En. Tony Pua Kiam Wee harus diperhatikan. (“Dakwaan-Dakwaan tersebut”).

Namun demikian, Chegubard mengaku tuduhan yang dibuat terhadap Tony Pua gagal dibuktikan.

“Saya juga mengakui bahawa siaran Facebook pertama dan kedua dengan dakwaan-dakwaan tersebut hanya berasaskan maklumat individu dalam kerajaan peringkat tertinggi kononnya berkenaan perkara-perkara yang sedang berlaku dalam kerajaan boleh dianggap adalah satu ciptaan yang palsu, yang disiarkan untuk tujuan politik sahaja.

“Setelah timbul pertikaian mengenai siaran facebook saya dan dakwaan-dakwaan tersebut, saya telah cuba meminta dokumen-dokumen yang berkaitan untuk membuktikannya, namun ia gagal diberikan kepada saya.

“Maka saya telah memadamkan dan menarik balik semula semua yang telah ditulis dan diterbitkan sebelum ini.

“Oleh sebab, kedudukan individu tersebut saya tidak membuat apa-apa penyiasatan atau pengesahan sendiri berkenaan kebenaran atau keesahan maklumat tersebut,” katanya.-MalaysiaDateline

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");