Panasnya Hari Ini

Kekal dengan PN, PAS akan terima padah pada PRU15, kata penganalisis

Seorang penganalisis meramalkan PAS menerima padah pada pilihan raya umum akan datang (PRU15) jika ia terus bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, kaitan PAS sekarang dengan PN merosakkan parti tersebut.

“Jika keputusan pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor tidak dapat meyakinkan pemimpin PAS bahawa berada dalam PN tidak memberi faedah kepada mereka, saya tidak tahu apa lagi yang boleh meyakinkan mereka,” katanya kepada FMT.

PAS kalah di kesemua lapan kerusi yang ditandinginya pada PRN Melaka tahun lepas dan hanya memenangi satu daripada 14 pertandingan pada PRN Johor Mac lepas.

Merujuk kepada hubungan tegang PAS dengan Umno dalam pakatan Muafakat Nasional (MN) selepas ia menyertai PN, Azmi mendakwa, pemimpin tertinggi parti itu tidak mahu mengakui mereka melakukan kesilapan kerana membiarkan ego menguasai diri.

PAS menandatangani piagam MN dengan Umno pada 2019 tetapi secara rasmi menyertai PN Ogos lepas.

Azmi berkata, jika kekal dalam PN untuk PRU15, PAS akan kehilangan beberapa kerusi Parlimen yang dipegangnya ketika ini memandangkan Umno semakin kuat di Kedah dan Terengganu.

Namun ia mungkin dapat mengekalkan kerusi-kerusi itu jika ia memutuskan untuk bekerjasama dengan Umno dan disenangi Umno, tambahnya.

Ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali, yang meninggalkan PAS Mac lepas, baru-baru ini berkata, bekas partinya itu mesti mengakui peranannya dalam kegagalan pakatan MN.

Katanya, MN akan berfungsi sebagai pakatan jika Umno dan PAS secara rasmi bersetuju untuk bekerjasama dan jika rundingan kerusi tidak terhenti di tengah jalan.

Seorang lagi penganalisis, Lee Kuok Tiung daripada Universiti Malaysia Sabah berkata, PAS tidak boleh bertahan bersendirian dan adalah lebih baik bagi parti itu untuk kekal dengan PN memandangkan Umno mungkin sudah tidak mahu bekerjasama dengannya.

Katanya, lebih baik bagi Umno untuk bekerjasama dengan sekutunya dalam Barisan Nasional (BN) berbanding dengan PAS.

“Kekalahan BN pada PRU14 dikaitkan dengan khabar angin bahawa Umno bekerjasama secara rahsia dengan PAS,” katanya.

“Bukan semua orang boleh menerima ideologi Islam PAS.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");