Berita Hari Ini

Mahkamah tetapkan 7 Julai keputusan kes Rosmah

 Mahkamah Tinggi di sini hari menetapkan 7 Julai depan bagi keputusan pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketetapan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Rosmah, 70, didakwa atas tiga pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan projek tenaga solar sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Beliau didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin yang merupakan Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd. (Jepak) untuk dirinya sendiri yang dibuat melalui Datuk Rizal Mansor, melibatkan 15 peratus nilai kontrak.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit di sini antara bulan Januari dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak mendapatkan projek itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di kediamannya di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 7 September 2017.

Rosmah turut didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak mendapatkan projek serupa.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 20 Disember 2016 di kediaman rasmi di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya.

Tuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama iaitu hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada Februari tahun ini, pasukan Rosmah menutup kesnya dengan barisan peguam iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Jagjit Singh dan Azrul Z Strok menggulung hujah akhir ketika prosiding pembelaan Rosmah.

Untuk makluman, Rosmah telah memberikan keterangan selama 42 hari dengan 23 saksi pendakwaan dan dua dari pasukan pembelaan.

Rosmah juga tampil dikandang saksi memberikan keterangan membela diri ketika prosiding.

Najib juga sepatutnya menjadi saksi pembelaan untuk memberikan keterangan dalam kes projek sistem tenaga solar bernilai RM1.25 bilion namun pada saat-saat akhir mahkamah dimaklumkan tidak akan berbuat demikian.

Mahkamah diberitahu oleh peguam Datuk Jagjit Singh, yang mewakili Rosmah bahawa pihaknya telah membuat keputusan kerana  keterangan oleh Najib itu sebenarnya hampir sama sahaja dengan saksi-saksi pembelaan lain.

Kata Jagjit, keterangan Najib yang merupakan saksi pembelaan ke-3 itu lebih kepada bersifat menyokong atau ‘corroborative’ sahaja. -MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");