Berita Hari Ini

Penerbangan pertama haji dijangka 4 Jun, kata menteri

Penerbangan pertama bagi jemaah haji Malaysia pada tahun ini dijangka pada 4 Jun ini berbanding perancangan awal pada 31 Mei berikutan pengurangan jumlah jemaah yang akan menunaikan Rukun Islam kelima itu berbanding kebiasaannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) Idris Ahmad berkata, anjakan tarikh berkenaan juga adalah berdasarkan rundingan dengan syarikat-syarikat penerbangan.

Beliau berkata jika dahulu penerbangan yang melibatkan jemaah haji adalah berjumlah 80 penerbangan tetapi ia telah berkurangan sehingga separuh tahun ini.

“Manakala, bagi tahun-tahun sebelum ini jumlah jemaah haji adalah sekitar 30,000 orang, namun pada tahun ini, jumlah jemaah hanya 14,000 orang sahaja.

“Baru sahaja tadi (hari ini) saya bertemu ketua pegawai eksekutif (Tabung Haji) tanya macam mana penerbangan haji dan beliau menjawab kemungkinan akan diganjak kepada 4 Jun kerana dulu 80 penerbangan sekarang dah jadi separuh,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Ar Rahnu Yapeim Akses dan Yapeim Gold Akses Muar di pekarangan Bangunan Mara, di sini.

Dalam masa yang sama, Malaysia juga masih menunggu keputusan kerajaan Arab Saudi berhubung rayuan kuota tambahan 5,000 jemaah bagi musim haji kali ini.

Sementara itu, berkenaan dengan Ar Rahnu Yapiem yang melebarkan sayapnya ke Muar, Idris berkata ia menjadikan jumlah keseluruhan cawangannya di seluruh negara kepada 213 buah.

“Selain itu, di Muar ini juga dibuka cawangan kesembilan Ar Rahnu Yapeim Akses (Bergerak) dan juga cawangan kelima Yapeim Gold Akses yang menawarkan perkhidmatan skim mikro kredit, penjualan emas terpakai dan pembelian barang kemas dengan harga yang kompetitif,” katanya.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");