Berita Hari Ini

‘Simpan tempahan’ ayam untuk pelanggan tertentu, rakan

Segelintir pekerja pasar raya di sekitar daerah ini didakwa ‘menyimpan tempahan’ stok ayam untuk pelanggan tertentu atau rakan tanpa pengetahuan majikan, susulan krisis kekurangan bekalan bahan mentah berkenaan ketika ini.

Ia berikutan ada pelanggan, terutama pengusaha kedai makan, didakwa mencari jalan dengan menggunakan ‘orang dalam’ di pasar raya untuk mendapatkan bekalan ayam tanpa perlu berbaris panjang sejak pagi seperti pembeli lain.

Mendedahkan perkara itu, seorang kakitangan pasar raya yang enggan dikenali mendakwa, pekerja terbabit memperoleh ‘duit tepi’ daripada pelanggan berkenaan, selain ada juga yang melakukannya secara percuma atas dasar setia kawan.

Beliau sekali gus menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak adil kepada pelanggan lain yang terpaksa berbaris panjang untuk membeli ayam dalam keadaan bekalan terhad.

“Pekerja terbabit menyimpan ayam khusus untuk pelanggannya sedangkan itu bukan dasar pasar raya. Orang lain terpaksa beratur panjang sejak pagi untuk membeli ayam, namun pelanggan berkenaan boleh datang pada waktu tengah hari dan ada ayam tersedia untuknya.

“Apa yang dikesalkan ialah apabila bekalan ayam habis dijual antara jam 9 hingga 10 pagi dan saya memaklumkan perkara itu kepada pelanggan, tiba-tiba ada pelanggan lain datang lebih lambat pula dapat membeli ayam ‘tempahan khas’,” katanya.

Malah, kakitangan itu memaklumkan, beliau juga menyaksikan serta mengalami sendiri keadaan tegang membabitkan pelanggan di pasar raya, setiap hari, berikutan krisis bekalan ayam kini.

“Ada pelanggan bergaduh sesama mereka kerana terdapat segelintir yang memotong barisan. Keadaan tegang itu menyebabkan pelanggan mudah marah, malah saya turut beberapa kali dimaki kerana hal kecil,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata pembekal ayam standard kepada pasar raya sekitar Negeri Sembilan dikesan hanya mampu membekalkan 20 peratus daripada kuantiti biasa dihantar berikutan kekurangan stok.

“Hasil pemantauan hari ini (semalam) mendapati ada pasar raya yang langsung tidak mempunyai stok bekalan ayam standard, iaitu satu dikesan di Kuala Pilah dan dua lagi di Seremban.

“Bagi pasar basah atau awam pula, Pasar Awam Kuala Klawang turut dikesan tidak mempunyai bekalan ayam,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");