Berita Hari Ini

‘UMNO sedang bina semula kebangkitan’ – Ahmad Zahid

 UMNO berjaya mengharungi cubaan pihak tertentu cuba memecahbelahkan parti itu yang kini sedang berusaha membina semula kebangkitannya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendakwa anasir perpecahan yang cuba disuntik gagal menggoyahkan kemuafakatan dan kesatuan pendokongnya.

Sebaliknya kata beliau, cubaan itu menjadikan UMNO lebih memahami betapa penting parti keramat agama, bangsa dan negara ini dipertahankan.

“Ujian dan pancaroba baharu membuatkan UMNO lebih berketerampilan dan ke hadapan.

“Insya Allah, selagi ada kudrat dan upaya izin Allah SWT, Presiden UMNO akan memastikan kebangkitan ini tidak sesekali terpadam,” katanya menerusi di Facebook sempena ulang tahun UMNO ke-76 hari ini.

Ahmad Zahid berkata, menjangkau usia itu, UMNO masih kekal dalam semangat dan jati diri parti politik terbesar orang Melayu, berpaksi demi rakyat dan negara.

Katanya, UMNO mara tanpa mengheret rakyat ke kancah kekalutan dan huru hara, sebaliknya bergerak seiring menjulang erti sebenar demokrasi.

“Masih diingati selepas 9 Mei 2018, UMNO cuba dikhabarkan sudah tiada, tidak lagi relevan, malah UMNO dituduh tiada hala tuju. Presiden barunya ditekan membubarkan parti, pimpinan dan ahlinya yang setia diasak supaya menyerah berpaling tadah.

“Berkat ketentuan Yang Maha Esa bersama kita bertahan, kita menentang dan kita bangkit dengan penuh hikmah serta bijaksana. Mendepani usia 76 tahun menjadikan UMNO semakin matang dan hebat penuh pengalaman dan pengetahuan,” katanya.

Dalam satu lagi entri di Facebooknya, Ahmad Zahid berkata, UMNO akan kembali berjuang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

“Amalan kita bermuafakat dan tidak berpecah belah. Serumpun bak serai, sesusun bak sireh. Perjuangan UMNO pada PRU ke-15 jauh lebih murni. Demi sebuah kebenaran dan kewajipan,” katanya.

Katanya, mereka yang menyatakan UMNO sudah tidak relevan adalah suatu kesilapan besar.

“Mereka itu sedang bermimpi di siang hari. Mengandaikan yang mustahil dan bukan-bukan. UMNO sebaliknya umpama pohon besar yang sedang menanti detik kembali berbuah.

“Meskipun pernah seakan-akan nyaris tumbang dipukul ribut, namun akarnya begitu utuh lagi kuat. Pohon UMNO nan luhur tetap teguh berpacak memayungi segenap naungannya,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");