Berita Hari Ini

‘Idealisme Bersatu jati diri saya’ – Azmin jawab khabar angin akan keluar parti

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Mohamed Azmin Ali menjawab khabar angin bahawa dia akan meninggalkan parti itu yang disertainya dua tahun lalu.

Azmin yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata, idealisme dan prinsip perjuangan Bersatu adalah jati dirinya.

Dia juga menyuarakan penghargaan terhadap keyakinan yang diberikan presiden parti itu, Muhyiddin Yassin terhadapnya.

“Justeru, saya amat menghargai dan berterima kasih di atas kenyataan Muhyiddin di atas keyakinan dan kepercayaan beliau terhadap iltizam dan komitmen saya bersama Bersatu sebagai wadah politik dan perjuangan demi rakyat

“Saya ingin menegaskan bahawa idealisme dan prinsip perjuangan Bersatu adalah jati diri saya.

“Kita akan terus bergerak sederap bersama seluruh anggota Bersatu untuk membangunkan sebuah kerajaan yang bersih, telus, berintegriti dan komited terhadap prinsip tadbir urus yang baik serta memperjuangkan keadilan sosial demi kemakmuran bersama seluruh rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 14 Jun lalu, Muhyiddin menafikan desas desus bahawa Azmin dan seorang lagi ahli parlimen parti itu, Rashid Hasnon bakal mengikuti jejak Zuraida Kamaruddin dengan meninggalkan parti.

“Setahu saya tidak betul (Azmin nak keluar parti), saya rapat dengan Azmin. Saya kerap berbincang dengan Azmin soal masuk keluar (parti) dan masa depan (parti).

“Malah Rashid ( Hasnon) masa saya majlis raya dia tak ada bercerita (mengenai nak keluar Bersatu),” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat keenam Majlis Pemulihan Negara (MPN), di Kementerian Kewangan, di Putrajaya.

Azmin, Zuraida dan Rashid adalah bekas pemimpin PKR yang menyertai Bersatu ketika Langkah Sheraton pada awal 2020.

Mengulas lanjut, Azmin berkata Bersatu adalah sebuah parti yang berakar dari identiti Melayu dan Bumiputera demi memelihara hak Melayu dan agama Islam, tetapi pada masa sama “mendakap realiti Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama”.

“Bersatu telah berani melakukan anjakan paradigma dengan meminda perlembagaan parti untuk meraikan kepelbagaian kaum dan budaya yang akan menyuburkan amalan demokrasi di Malaysia,” katanya lagi.

Bulan lalu, Zuraida mengumumkan keluar Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia.

Perkembangan itu menimbulkan spekulasi berhubung kemungkinan bekas ahli parlimen PKR lain – yang keluar parti ketika Langkah Sheraton – akan mengikut jejak langkah itu.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");