Kerajaan akan membentangkan pindaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dalam 11 peruntukan undang-undang pada sidang Parlimen Oktober ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Bercakap pada sidang media pagi tadi, dia memberitahu sekiranya semua berjalan mengikut perancangan, negara tidak lagi mengenakan hukuman mati mandatori mulai Januari tahun depan.
Wan Junaidi berkata kerajaan juga akan menjalankan tinjauan awam untuk mengumpul maklum balas daripada rakyat mengenai rancangan pemansuhan itu sebelum membentangkan undang-undang itu ke Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama.
“Jika boleh selesaikan soalan-soalan (mengenai) pindaan dulu dan bentangkan apa kabinet dah putus untuk putuskan tentang hukuman mati mandatori pada Oktober nanti.
“Kemudian pada Disember, ia akan dibawa ke Dewan Negara. (Jadi) menjelang Januari akan dimansuhkan secara realiti,” katanya.
Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dan ia akan digantikan dengan hukuman lain tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Keputusan itu dicapai selepas Wan Junaidi membentangkan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori pada mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu lalu.
Malaysia ketika ini melaksanakan hukuman mati mandatori bagi beberapa kesalahan, antaranya kesalahan terhadap Yang di-Pertuan Agong, membunuh, mengedar dadah dan melakukan perbuataan keganasan, selain beberapa lagi jenayah mengikut budi bicara mahkamah.-Mkini