Panasnya Hari Ini

Penumpang AirAsia rancang adakan protes, tolak bayaran balik dalam bentuk baucar, kredit

Penumpang AirAsia sedang merancang untuk mengadakan protes di ibu pejabat syarikat penerbangan tambang murah itu bagi menuntut bayaran balik pembelian tiket yang dibatalkan perjalanannya secara tunai, selain menegaskan mereka menolak baucar atau kredit yang ditawarkan syarikat itu.

Bercakap kepada MalaysiaNow, mereka berkata ini kerana kredit atau baucar yang diterima tidak boleh diguna pakai untuk membeli tiket penerbangan disebabkan tiada perkhidmatan AirAsia X di lokasi mereka.

Menurut Biasa @ Baisah Jawan, warga Malaysia yang menetap di Gold Coast, Australia, situasi ini menyebabkan kredit dan baucar yang diterima disifatkan sebagai tidak berguna dan mengukuhkan lagi alasannya mengapa dia memerlukan bayaran balik dalam bentuk tunai.

Katanya, isu bayaran balik ini merupakan satu isu besar baginya kerana dia memerlukan wang itu untuk membeli tiket penerbangan baru untuk melawat ibunya di Sabah yang kini sedang sakit.

“Ibu saya yang berusia 95 tahun jatuh sakit pada tahun lalu dan dia sering keluar masuk hospital di Sabah,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Saya ingin melawatnya secepat mungkin memandangkan penularan Covid-19 kini sudah semakin terkawal di Australia dan Malaysia, membolehkan saya untuk mengembara dengan selamat.”

Biasa berkata, dia menempah tiket penerbangan AirAsia X yang dijadual berlepas ke Gold Coast ke Hanoi pada 28 Mac 2020 sebelum ke Sabah pada 1 April 2020.

Seterusnya dia akan ke Kuala Lumpur pada 10 April 2020 dan kembali ke Gold Coast tiga hari kemudian.

“Penerbangan kami dijadual dibatalkan pada awal Januari 2020 memandangkan semua penerbangan di Australia terpaksa dihentikan operasi susulan penularan Covid-19.

“Sejak penerbangan dibatalkan, bukan saja saya terima bayaran balik dalam bentuk kredit, tetapi ia dalam mata wang Vietnam,” katanya sambil menyifatkan proses itu sebagai pelik memandangkan dia membayarnya dalam 1,800 dolar Australia (RM5,684).

Tambah Biasa disebabkan penstrukturan semula hutang AirAsia X, dia menerima baucar bernilai 9,447,284 Vietnam Dong bersamaan dengan RM1,792 manakala baki selebihnya bagi bayaran balik tersebut adalah dalam bentuk kredit.

“AirAsia tiada hak untuk menyekat duit pelanggan apabila penerbangan dibatalkan demi memenuhi objektif perniagaannya,” tegas Biasa.

Sementara itu, seorang lagi penumpang yang menetap di Taiwan, Siew Bee Chuen, juga menyatakan bahawa dia tidak dapat menggunakan kredit yang diterima oleh AirAsia X kerana tiada penerbangan dari Taiwan ke Malaysia.

Malah, dia berdepan isu lain apabila kredit yang diterima telah tamat tempoh lebih awal dari tarikh yang sepatutnya.

Seterusnya, Siew membuat aduan kepada AirAsia mengenai masalah yang dihadapi sebelum menerima emel memaklumkan bahawa dia akan terima baucar.

Emel yang dikongsikan kepada MalaysiaNow menyatakan bahawa baucar itu sah digunakan dalam tempoh lima tahun.

“Tetapi ia hanya untuk penerbangan AirAsia X yang bermakna ini menghadkan pilihan saya untuk membeli tiket penerbangan dari lokasi-lokasi tertentu sahaja,” katanya.

“Selagi tiada penerbangan dari Taiwan ke KL, saya tidak boleh menggunakannya.”

Sementara itu, MalaysiaNow difahamkan, penumpang AirAsia yang masih tidak menerima bayaran balik tiket penerbangan mereka yang dibatalkan merancang untuk membuat protes di depan ibu pejabat AirAsia di Red Q, Sepang di Selangor pada minggu hadapan.

MalaysiaNow dimaklumkan, tindakan itu bagi mendesak pihak syarikat penerbangan tambang murah tersebut supaya memulangkan wang penumpang.

“Kami menjemput penumpang lain supaya hadir dan bersama menggesa pihak AirAsia menghormati hak pengguna dan pulangkan duit kami.

“Kami terpaksa memilih cara ini memandangkan syarikat penerbangan dan pihak berkuasa seolah-olah tidak mengendahkan aduan yang dibuat,” kata Teerathpal Singh, antara penumpang yang akan hadir pada sesi protes tersebut.-MalaysiaNow

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");