Berita Hari Ini

Rosmah tarik balik tuntut gelang berlian

Datin Seri Rosmah Mansor menarik balik tuntutan seutas gelang berlian emas putih bernilai AS$220,500, manakala suaminya yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih meneruskan tuntutan tujuh jam tangan masing-masing disimpan di bilik kebal Bank Negara Malaysia (BNM).

Perkara itu disahkan peguam Rosmah dan Najib, Azamuddin Abd Aziz serta Syazwani Mohd Zawawi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin, hari ini.

Peguam syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan iaitu Datuk David Gurupatham yang turut menuntut gelang berlian berkenaan berkata, penarikan tuntutan oleh Rosmah akan menjimatkan kos dan masa mahkamah.

Gelang emas dan jam tangan itu antara barang disita polis dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion Residences pada Mei 2018, yang didakwa berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 25 Mei lalu, media melaporkan Rosmah dan Global Royalty menuntut gelang berlian itu, manakala Najib menuntut tujuh jam tangan masing-masing disimpan di bilik kebal BNM.

Pada 25 Julai 2020, Najib dan Rosmah memeriksa 306 beg tangan, 401 jam tangan, 16 aksesori jam tangan dan 234 cermin mata yang turut disita dari premis sama.

Pada 2019, pihak pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 barang kemas, 401 jam tangan, 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Sementara itu, Syazwani berkata, pihaknya menghantar surat representasi kepada pihak pendakwaan pada 26 Mei lalu dan masih belum menerima maklum balas.

“Ia berhubung jam tangan itu dan kita memohon mahkamah rekodkan perkara berkenaan,” katanya.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin mengesahkan sudah menerima dan sedang mengkaji surat itu, selain akan memaklumkan kepada mahkamah jika mempunyai perkembangan terkini.

“Kami juga memohon untuk meminda notis usul berkaitan pelucuthakan harta iaitu 2,436 barang kemas, tujuh jam tangan dan 29 beg tangan yang disita di Pavilion Residences pada 17 Mei 2018.

“Pihak pendakwaan percaya pindaan notis usul tidak memprejudiskan mana-mana pihak dan dibuat sejajar dengan keperluan undang-undang,” katanya.

Hakim membenarkan permohonan itu dan menetapkan 26 serta 27 September ini bagi pendengaran pelucuthakan harta berkenaan.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");