Berita Hari Ini

‘Beri kewarganegaraan pada anak angkat yang dapat perintah mahkamah’

Tindakan kerajaan menolak permohonan kewarganegaraan untuk anak angkat disifatkan sebagai hipokrit dan bercanggah dengan slogan Keluarga Malaysia, kata timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Dalam satu kenyataan hari ini, Hannah menggesa kerajaan memberikan kewarganegaraan kepada anak angkat yang berjaya mendapat perintah pengangkatan melalui mahkamah.

“Saya menggesa kerajaan supaya segera memberikan kewarganegaraan kepada anak angkat yang telah mendapat perintah pengangkatan daripada mahkamah.

“Kerajaan wajar berterima kasih kepada ibu bapa yang mengambil anak angkat untuk merealisasikan agenda Keluarga Malaysia.

“Sebarang keputusan Kerajaan yang membelakangkan motto sendiri hanya membuktikan bahawa Kerajaan Barisan/Perikatan Nasional ini merupakan sebuah kerajaan hipokrit, cakap tak serupa bikin,” kata Yeoh.

Katanya, permohonan pasangan ibu bapa yang memohon kewarganegaraan untuk anak angkat mereka menjadi isu yang tidak pernah berkesudahan apabila permohonan mereka ditolak oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) tanpa sebarang alasan.

“Pelbagai kesan sosial yang terpaksa dihadapi oleh ibu bapa dan anak angkat mereka apabila permohonan kewarganegaraan mereka ditolak.

“Ibu bapa ini melalui stress dan tekanan emosi yang sangat berat. Mereka tidak dapat membuat rancangan jangka pendek atau jangka panjang dalam penjagaan anak angkat mereka,” katanya.

Yeoh menyebut beberapa isu yang sering dihadapi anak angkat dalam kategori ini, antaranya:

• Tdak mempunyai akses kepada pendidikan di sekolah Kerajaan;

• Tidak mempunyai akses kepada Klinik Kesihatan Ibu dan Anak milik Kerajaan dan menyebabkan mereka terpaksa ke klinik swasta dengan kos perubatan yang sangat mahal;

• Tidak dapat bercuti bersama keluarga jika destinasi di luar Malaysia;

• Terpaksa membayar fee pelancong asing untuk memasuki zoo, akuarium atau taman burung;

• Tidak boleh membuka akaun bank;

• Tidak boleh mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti untuk mewakili Malaysia seperti sukan, acara riadah dan kebudayaan.

April lalu, ahli parlimen DAP, Teo Nie Ching turut menggesa kerajaan memberikan kerakyatan kepada semua kanak-kanak tanpa kewarganegraan yang bapanya warga Malaysia jika mereka boleh memberikan bukti DNA.

Kementerian Dalam Negeri sebelum ini enggan menerima bukti DNA tersebut.

Selain itu, Teo berkata kanak-kanak tanpa kewargangeraan yang diambil sebagai anak angkat secara sah oleh ibu bapa warganegara Malaysia mereka juga harus diberikan kerakyatan.

Teo juga memetik keputusan penting Mahkamah Persekutuan pada 19 Nov tahun lalu yang memutuskan bahawa bayi yang ditinggalkan harus diiktiraf sebagai warganegara Malaysia berdasarkan kuat kuasa undang-undang.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");