Berita Hari Ini

Ibu murid patah kaki didakwa dihempas guru bimbang saksi ‘diganggu’

 Ibu kepada murid tahun tiga yang kaki kanannya patah didakwa dihempas gurunya, minggu lalu, bimbang pihak pentadbiran sekolah ‘mengganggu’ saksi yang menyaksikan kejadian yang menimpa anaknya.

Sumber yang rapat dengan keluarga mangsa memberitahu FMT, ibu mangsa, “Siti” (bukan nama sebenar) menceritakan dia dihubungi ibu bapa kepada saksi (rakan sekelas anaknya), menyatakan anak mereka dimarahi guru pentadbir kerana membuat laporan polis, berkenaan insiden itu.

“Mak-mak pelajar yang buat laporan polis sebagai saksi hubungi Puan Siti dan beritahu anak-anak mereka kena ‘ugut’ di sekolah. Guru pentadbir datang ‘ugut’, datang ‘provok’ dan bertanya siapa di antara mereka yang buat laporan polis (sebagai saksi).

“Ibu bapa (kepada saksi) cakap anak-anak mereka takut nak pergi sekolah. Puan Siti bimbangkan keadaan anak-anak itu,” katanya kepada FMT.

Pada 6 Julai lalu, anak lelaki Siti, dikejarkan ke hospital kerana kaki kanan patah, selepas didakwa dihempas ke atas kerusi oleh seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), di sebuah sekolah di Marang, Terengganu.

Menurut sumber itu, kejadian berlaku sekitar 3.30 petang, dan Siti serta ahli keluarganya mendakwa mereka tidak dimaklumkan pihak sekolah.

Guru berkenaan menghantar mangsa balik ke rumah, dengan ditemani ibu saudara kepada mangsa yang datang ke sekolah untuk menjemput anak saudaranya itu.

Ketika Siti dan suaminya pulang ke rumah, anaknya tidak berhenti menangis lalu dibawa ke klinik, yang mendapati kaki kanannya patah dan perlu dirujuk ke hospital, menurut mereka.

Dalam perjalanan ke hospital, Siti menghubungi guru berkenaan dan bertanyakan apakah kejadian sebenar.

“Dalam perjalanan ke hospital, pasangan suami isteri itu menghubungi guru berkenaan bertanyakan apakah sebenarnya terjadi. Guru itu hanya menjawab anak muridnya itu berlari, kemudian terlanggar kerusi dan jatuh.

“Puan Siti cuba hubungi ibu bapa lain dalam kelas anaknya, bertanyakan apa sebenarnya berlaku. Ibu bapa pertama (yang beri maklum balas) beritahu anaknya menceritakan ‘ustaz angkat hempas atas kerusi’. Puan Siti hubungi ibu bapa kedua dan anak mereka memberitahu ‘ustaz angkat (mangsa guna) satu tangan, hempas (mangsa) atas kerusi. Budak tu sakit’,” cerita sumber itu lagi.

Media melaporkan guru berkenaan sudah ditahan reman bermula semalam sehingga Ahad depan, untuk siasatan.

Turut dilaporkan sehari selepas kejadian, beberapa rombongan guru, datang menziarahi mangsa dan memohon maaf kepada Siti dan keluarga. Mereka meminta agar kes ini tidak dipanjangkan. Pihak sekolah turut meminjamkan sebuah kerusi roda dan sumbangan wang tunai RM300.

Guru berkenaan serta ibu bapanya juga dilapor melawat dan melakukan ritual kononnya merawat mangsa secara tradisional.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");