Perak Hari Ini

Keputusan kes rogol pembantu rumah libatkan ADUN Tronoh hari ini

Mahkamah Tinggi Ipoh akan membuat keputusan berhubung perbicaraan kes rogol melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang dituduh merogol pembantu rumahnya hari ini.

Bekas ADUN DAP itu sepatutnya mengetahui keputusan berhubung perbicaraan kes rogolnya pada 28 Jun lalu tetapi ditangguhkan ke hari ini selepas berlaku kematian ibu tertuduh.

Yong sebelum ini mengumumkan keputusannya keluar DAP dan kini menyertai sebuah parti baharu, Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Pada 31 Mac lalu, pasukan pembelaan diketuai Rajpal bersama Salim Bashir menutup kesnya selepas memanggil tiga saksi iaitu Yong, 52, dan isteri, Too Choon Looi, 46, serta bapa saudara mangsa, Muhammad Rusdi, 51.

Prosiding tersebut berlangsung selama dua hari pada 16 dan 31 Mac lalu.

Sebelum ini pada 7 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas exco kerajaan negeri itu membela diri terhadap tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia pada Julai 2019.

Hakim Datuk Abdul Wahab memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan berkenaan.

Sepanjang prosiding tersebut, pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi dibantu dua Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd. Radzi dan Mohd. Fitri Sadarudin.

Pada 23 Ogos 2019, Choo Kiong yang juga bekas Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.-Agenda Daily

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");