Berita Hari Ini

Khairuddin tak tolak kembali ke pangkuan PAS, tapi bukan sekarang

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Khairuddin Aman Razali yang meninggalkan PAS pada Mac lalu tidak menolak untuk kembali ke pangkuan parti itu semula.

Bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat itu bagaimanapun berkata, isu itu tidak berbangkit buat masa ini, sebaliknya beliau menyerahkan kepada masa untuk menentukan bila ia akan berlaku.

“Bagi saya, tak berbangkit untuk mengajak saya kembali kepada PAS kerana saya berhenti secara sukarela mengikut perlembagaan parti.

“Akan datang tak pasti macam mana…perkara mendatang itu kita serah kepada ilmu Allah,” katanya kepada FMT mengulas kenyataan PAS Terengganu yang terbuka menerima bekas pemimpin dan ahlinya untuk kembali kepada parti itu, termasuk Khairuddin.

Khairuddin berkata, sejak keluar PAS, beliau tidak pernah menyerang parti itu, sebaliknya hanya memberi pandangan secara akademik berdasarkan isu yang berlaku.

“Saya tak pernah menyerang PAS kerana PAS adalah sebahagian daripada kerajaan dan kita sama-sama Ahli Parlimen kerajaan,” katanya sambil memaklumkan hubungannya secara peribadi dengan pemimpin PAS masih baik.

Walaupun tidak lagi bersama PAS, beliau berharap ahli parti itu kekal bersama PAS untuk meneruskan wadah perjuangan mereka.

Katanya, beliau juga akan terus memperjuangkan agenda Muafakat Nasional serta menyatukan kembali Umno dan PAS.

“Tidak ada apa yang mustahil dalam politik. Hasrat untuk berpakat dan muafakat adalah hasrat ahli-ahli akar umbi…pemimpin atasan mesti mendengar kehendak dan kemahuan ahli, dan jangan bertindak kerana kepentingan peribadi yang sempit.

“Kita kena terus berusaha dan saya akan terus berusaha untuk bersama dengan Umno berpakat dan berusaha berpakat dengan PAS, selagi mereka tidak menolak atau memulau saya,” katanya.

Diminta mengulas kemesraannya bersama Umno, termasuk menganjurkan program Korban Perdana #KeluargaMalaysia Kuala Nerus yang turut dihadiri Pengerusi Umno Terengganu, Ahmad Said pada Isnin lalu, Khairuddin berkata, ia kerjasama demi kebaikan rakyat di kawasannya dan bukannya untuk menyertai parti itu.

“Isu nak jadi calon (Umno) dalam pilihan raya umum, isu lain (mahu masuk Umno) tak berbangkit. Ia kerjasama dalam menyelesaikan tugas sebagai Ahli Parlimen, itu saja,” katanya.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");