Panasnya Hari Ini

Nah, 5 lagi fakta ‘menipu’ untuk laporan polis, Najib sindir Rafizi

Najib Razak menyindir Rafizi Ramli dengan menyenaraikan lima “penipuan” yang boleh dibidas timbalan presiden PKR itu.

Najib membuat cabaran itu dalam pada pemimpin PKR bersedia membuat kempen laporan polis terhadapnya, dengan Rafizi dan naib presiden Nik Nazmi Nik Ahmad bercadang berbuat demikian mendakwa kecuaian Najib berkaitan tuntutan waris kesultanan Sulu.

Senarai itu menyatakan beberapa pencapaian Najib ketika menjadi perdana menteri, yang dibandingkannya dengan prestasi Pakatan Harapan berkaitan lima isu berkenaan.

Najib berkata, di bawah pentadbirannya aset negara meningkat manakala ekonomi turut berkembang berbanding dakwaan bahawa beliau telah “menjahanamkannya”.

Menurutnya, walaupun hutang kerajaan melonjak kepada RM687 bilion dari RM324 bilion ketika beliau berkuasa, kadar dalam negara kasar (KDNK) juga meningkat RM659 bilion bagi tempoh sama.

Bagaimanapun, ketika pentadbiran Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional, katanya, kadar hutang melonjak kepada RM1 trilion, manakala KDNK meningkat cuma RM224.5 bilion bagi tempoh sama.

Beliau turut menegaskan tidak pernah “menjarah” Petronas ketika menjadi perdana menteri, dengan menambah syarikat minyak kebangsaan itu mengutip surplus RM227 bilion dalam tempoh sembilan tahun. Sebaliknya, di bawah PH dan PN, Petronas mengalami defisit RM12.9 bilion dalam tempoh empat tahun.

Selain itu, katanya, ketika pentadbirannya aset bersih Khazanah Nasional naik hampir empat kali ganda kepada RM116 bilion dari RM33 bilion, tetapi jatuh mendadak selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang melihat PH mengambil alih pentadbiran.

“Nilai matawang ringgit serta indeks Bursa Malaysia tidak pernah memulih ke paras sebelum PRU14 dalam masa PH dan PN sehingga kini – malah jauh lagi lemah berbanding bulan April 2018 sebelum PRU14,” katanya.

Beliau turut berkata, purata dividen serta hibah tabung simpanan kerajaan adalah jauh lebih tinggi ketika pentadbirannya berbanding selepas PRU14.

“Itu saja kali ini. Lima lagi fakta yang orang PKR/PH patut lapor polis sebab Najib bohong.”

Najib dan Rafizi saling “serang-menyerang” di media sosial sejak beberapa bulan kebelakangan ini selepas Rafizi kembali aktif dalam politik selepas dua tahun.

Rafizi dilantik sebagai timbalan presiden PKR bulan lalu, mengalahkan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Pada Ahad, Rafizi menggesa ahli PKR membuat laporan polis terhadap Najib berkaitan tuntutan waris kesultanan Sulu.

Susulan itu, Najib mencabar ahli PKR membuat laporan polis terhadapnya setiap kali beliau didakwa berbohong di media sosial, dan berkata, beliau tidak sesekali takut.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");