Berita Hari Ini

Tajuddin akur sebarang keputusan Putrajaya berkait jawatan duta Indonesia

Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman akur dengan apa saja keputusan kerajaan berhubung kedudukan dan pelantikannya sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia.

Dalam pertemuan dengan perdana menteri di Putrajaya kelmarin, katanya, Ismail Sabri Yaakob sudah memberi gambaran berhubung kedudukannya.

“Saya sudah jumpa dengan perdana menteri, jadi sedikit sebanyak saya sudah mendapat gambaran. Macam mana pun, saya tidak boleh nak nyatakan perbincangan dengan perdana menteri sebab tidak mahu mendahuluinya dan saya menghormati Kabinet. Saya juga seorang rakyat yang taat setia kepada Tuanku.

“Berhubung kedudukan sekarang, saya tidak tahu. Cuma saya sudah dilantik Kabinet dan proses seterusnya saya serahkan kepada kerajaan. Saya percaya kerajaan boleh bertindak dan membuat keputusan dengan bijaksana.

“Yang penting, sekiranya khidmat saya diperlukan, saya akan berkhidmat untuk rakyat dan negara. Malah, saya boleh menerokai peluang yang ada supaya kedua-dua negara sama-sama menikmati kerjasama yang membawa kepada kemajuan dalam pembangunan, ekonomi, pendidikan dan lain-lain,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Tajuddin dilaporkan digugurkan sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia, selepas kerajaan “berubah hati” mengenai pelantikannya, menurut sumber kerajaan.

Pada 12 Julai lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengurniakan watikah pelantikan kepada empat ketua perwakilan Malaysia ke luar negara, tetapi nama Tajuddin tidak tersenarai dalam pengurniaan watikah itu.

Isu pelantikan Tajuddin sebelum ini mengundang kritikan pelbagai pihak, termasuk bekas diplomat. Beberapa pihak dalam Umno turut mendesak Tajuddin digugurkan kerana tindakannya menyerang Presiden, Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka yang disifatkan “memalukan”.

Sementara itu, Tajuddin berkata, dakwaan beliau tidak layak memegang jawatan itu bertujuan menjatuhkan reputasinya.

“Mereka buat macam-macam cerita yang bukan bertujuan baik. Semua bertujuan dengki, khianat. Apakah mereka ingat saya ini langsung tidak ada kemampuan? Kelulusan? Pengalaman? Itu dari pembangkang, saya tidak kisah. Tetapi, saya kesal orang Umno sendiri ikut sama, apa masalahnya?

“Tidak mengapalah, saya tidak patah semangat. Saya yang sudah berkhidmat lebih 50 tahun dan akan terus berkhidmat menggunakan pengalaman yang ada sebagai wakil rakyat, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan dan timbalan menteri.”-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");