Berita Hari Ini

Visa furada memang wujud, namun tiada jaminan ‘harus dapat’, kata pembimbing umrah

 Visa furada memang wujud, benar dan berkemungkinan besar diluluskan, jika bersungguh-sungguh diusahakan agensi pelancongan, kata pembimbing umrah Az Zuha Group Travel, Abu Bark Mohd Sidek.

Menurutnya, visa furada adalah kuota yang dikurniakan Kedutaan Arab Saudi kepada individu di Malaysia dan mana-mana negara yang mempunyai hubungan baik dengan kerajaannya.

Malah, katanya, kuota itu di luar kuota rasmi yang diperuntukkan kepada Tabung Haji setiap tahun.

“Tiada siapa yang boleh ‘confirm’ banyak mana kuota furada yang mereka ada sehingga proses visa dijalankan. Proses visa furada hanya diuruskan Kedutaan Arab Saudi selepas selesai semua kuota rasmi Tabung Haji, iaitu bermaksud dalam tempoh terakhir sebelum musim haji bermula.

“Visa furada bersifat kontroversi kerana melibatkan visa yang belum disahkan (lulus), tiket penerbangan yang sangat-sangat terhad, pemberitahuan tarikh lulus pada saat akhir untuk masuk Arab Saudi dan pengurusan di Tanah Suci Makkah,” katanya kepada FMT.

Visa furada menjadi topik hangat minggu lalu selepas 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akibat ditipu syarikat pelancongan, UC Travel.

Susulan itu, polis menahan lima individu, termasuk pemilik syarikat pelancongan terbabit untuk membantu siasatan.

Abu Bark yang juga pengurus hubungan antarabangsa Yayasan Budi Ihsan Malaysia berkata, meskipun visa furada kerap mencetuskan kontroversi, ia tetap menjadi pilihan segelintir rakyat negara ini.

“Penggunaan visa furada adalah cara untuk jemaah haji menjadi tetamu Allah tanpa perlu menunggu giliran Tabung Haji. Jemaah yang dimaksudkan sudah mampu dari segi kewangan dan kesihatan, namun giliran mereka di Tabung Haji masih jauh.

“Walaupun kos pengurusan visa furada tinggi berbanding pakej Tabung Haji, namun mereka ada banyak sebab untuk cepat mengerjakan haji. Mungkin dari segi umur yang sudah lanjut atau pakej lebih menarik daripada Tabung Haji.”

Abu Bark memberitahu, sesiapa yang berminat mengerjakan haji menggunakan visa furada harus menyelidik terlebih dahulu untuk mengelakkan ditipu di kemudian hari.

“Berhati-hati dengan pakej visa furada. Selidik status syarikat dengan membuat semakan silang dengan syarikat lain, juga ‘track record’ syarikat. Pastikan syarikat itu menjamin pulangan semula wang, sama ada sepenuhnya atau sebahagian daripadanya.

“Jangan terus mempercayai tawaran yang menggiurkan. Jaminan pasti mendapat visa furada adalah tawaran berbaur penipuan kerana sememangnya tiada jaminan untuk mendapat visa furada,” ujarnya.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");