Berita Hari Ini

‘Mungkin menteri ada sejarah hitam dengan peperiksaan’, rakyat bimbang anak-anak makin malas belajar

Rata-rata rakyat bimbang dengan keputusan kerajaan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun lalu dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini.

Sepatutnya, pengajaran dan pembelajaran kurikulum kebangsaan perlu diukur pencapaiannya menerusi penilaian dan peperiksaan kebangsaan bukan diserah kepada pihak sekolah.

Ramai ibu bapa berpendapat anak-anak akan cenderung dan makin malas untuk belajar bersungguh-sungguh memandangkan tiada lagi matlamat untuk menduduki ‘peperiksaan besar’.

Walaupun Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) susulan pemansuhan penilaian bagi pelajar Tahun Enam dan Tingkatan Tiga itu, tetapi warganet sukar menerima konsep Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang menjadi antara komponen PBS.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, di Dewan Rakyat semalam berkata, pelaksanaan PBS turut membabitkan komponen Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Menurut Senator itu, bagi tujuan pelaksanaan ujian akhir sesi akademik, pihak sekolah akan menjana set soalan daripada sistem bank soalan dibangunkan KPM dan ditadbir di sekolah seperti ujian akhir tahun sebelum ini.

Radzi yang juga pemimpin Bersatu itu menganggap pemansuhan UPSR dan PT3 dilihat mampu membuka ruang kepada murid sekolah rendah minat kepada sains secara semula jadi dan memberi peluang meneroka lebih mendalam supaya tidak takut subjek sains.

Kenyataan bekas pensyarah di bidang perakaunan di Universiti Tasmania, Hobart di Australia itu kemudiannya dilihat mengundang kecaman dan sindiran orang ramai di media sosial.

“Saya rasa dia ni dulu ada sejarah hitam dengan peperiksaan,” perli Daing Ardy Arek manakala Yusof Taib secara berseloroh menambah, “Pasti dia Mat Repeat ni. Itu yang balas dendam. Rugi dia tak jadi Menteri masa kita sekolah dulu.”

Sementara itu, bagi pengguna Facebook, Kobod Corebideen, penilaian UPSR dan PT3 penting kerana fasa perubahan kognitif berbeza pada usia berbeza.

“Kalau tak ukur, ada jaminankah pelajar berjaya dalam bidang sains, sosial, ekonomi kalau tidak diuji kemampuannya?

“Minat semulajadi bukan tiket untuk masuk bidang tertentu. Ibarat minat arkitek, tapi tiada bakat langsung melukis.

“Minat jadi doktor, tapi bangang Sains. KPM perlu menteri baharu dan pegawai yang bijaksana. Sila ambil opsyen pencen segera,” tegasnya lagi.

Alang-alang sistem peperiksaan besar dimansuhkan, netizen juga secara sinis berharap ramai akan jadi menteri.

“Elok dimansuhkan semuanya. Selepas habis sekolah menengah terus pegang jawatan menteri pendidikan,” kata Failiz Tid.

Sekarang pun, sekolah menghadapi masalah kehadiran pelajar lantaran sudah tiada peperiksaan awam.

“Sebab tiada peperiksaanlah budak malas datang sekolah. Contoh UPSR, alasannya bukan ada periksa nak susah-susah belaja.

“Sekarang dah dapat hasilnya berapa sekolah sahaja yang dapat kehadiran 100 peratus,” tulis Hasri Mohd Yusof pula. – MalaysiaDateline

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");