Panasnya Hari Ini

Najib jijik cara PH mainkan isu LCS, beri kesan keselamatan negara

Datuk Seri Najib Razak jijik cara Pakatan Harapan (PH) memainkan isu pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kerana tindakan mereka itu memberi kesan kepada keselamatan negara.

Bekas Perdana Menteri itu menyifatkan PH sudah kekeringan isu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 sehingga sanggup menjadikan projek LCS sebagai isu besar.

Sedangkan, katanya, mengapa  Kerajaan PH menangguhkan pembinaan LCS sebaik sahaja menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)  ketika projek tersebut telah mencapai kemajuan 55.7 peratus dan akhirnya dibekukan pada September 2019.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, sepatutnya sebagai kerajaan, PH patut pastikan kapal tersebut diserah mengikut jadualkan dan bukannya tidak berbuat apa-apa.

“Projek hanya disambung semula pada bulan Mei 2022 oleh kerajaan hari ini apabila kontrak ditandatangan untuk sambung projek ditanda tangan selepas pandemik Covid pada tahun 2020 dan 2021.

“Lalu dijadikan isu propaganda sebelum PRU15 dengan pelbagai tohmahan kenapa kapal belum siap. Kamu yang tangguh, kamu yang bekukan dan kamu juga yang tanya kenapa kapal-kapal belum siap?

“Jijiknya permainan mereka tetapi ianya memberi kesan kepada kepentingan dan kesediaan TLDM dan keselamatan negara,” kata Najib.

Lantaran itu, Najib mendesak Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara Wong Kah Woh dan bekas Kabinet PH untuk menjawab peratusan kemajuan projek dari permulaan pembinaan pada akhir tahun 2014 hingga Mei 2018 iaitu sebelum PRU14.

Kah Wong dan PH juga perlu menjelaskan kemajuan projek berkenaan dari Mei 2018 hingga September 2019 iaitu ketika projek tersebut dihentikan oleh kerajaan PH.

“Saya dah tanya soalan simple ini empat kali. Kenapa tak jawab sehingga kini? Perlu ingat juga bahawa kapal pertama hanya dijadualkan untuk diserah kepada TLDM pada tahun 2019 iaitu selepas kerajaan tukar tangan selepas PRU14 bukan sebelumnya.

“Perlu ingat juga bahawa syarikat Boustead ini milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTA). Segala keuntungan juga mengalir ke LTAT (bukan kroni sesiapa tetapi kroni TLDM) dengan dividen-dividen dan bonus tinggi cecah 12% sepanjang tempoh saya PM sebelum jatuh ke 2% pada tahun 2018 dan 2019 bawah kerajaan PH,” kata Najib.

Najib dalam kenyataan di Facebook turut mengingatkan bagaimana PH memainkan isu kapal selam Scorpene milik TLDM yang didakwa tidak boleh ‘menyelam’.

Beliau juga mendakwa PH turut memanipulasi isu enam unit helikopter jenis MD530G bagi memperkasakan ketumbukan tempur Tentera Darat Malaysia (TDM).

“Dulu PH tuduh kapal selam kita tak boleh selam. Lalu selepas PH jadi kerajaan, Mat Sabu jawab dalam Dewan Rakyat bahawa kapal selam kita memang boleh selam.

“Dulu PH kata kenapa 6 buah helikopter dibeli tidak sampai dan wangnya sudah lesap. Lalu kesemua 6 buah helikopter diterima dalam keadaan baik.

“Kini mereka tak ada isu bagi PRU15 dan berada dalam keadaan lemah. Sebab itu mereka nak jadikan kelewatan projek LCS ini sebagai isu besar baharu. Itulah permainan PH,” sindir Najib.-MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");