Perak Hari Ini

‘Hadiah Terbaik Deepavali’

Senyuman terukir di wajah A Valiamah dan R Latchamy apabila menerima kunjungan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di kediaman masing-masing sempena perayaan Deepavali, hari ini.

Sambutan Deepavali tahun ini juga pastinya lebih bermakna buat mereka berdua apabila pemimpin nombor satu negeri itu membawa khabar gembira bahawa kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan membaiki rumah berikutan keadaan keluarga yang hidup dalam serba kekurangan.

Bagi Valiamah, bantuan itu merupakan berita dan hadiah terbaik sempena perayaan Deepavali yang disambut hari ini.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan semua yang sudi membantu….ia sememangnya hadiah yang terindah buat saya dan keluarga,” katanya lagi.

Sementara itu, menurut anak sulungnya, Janaga Raj, bantuan itu akan memastikan keluarganya dapat hidup dalam suasana lebih selesa selepas ini.

“Sudah lebih 43 tahun kami tinggal di sini iaitu selepas ayah meninggalkan ibu dan kami adik-beradik.

“Saya bekerja menampung di ladang kelapa sawit berhampiran rumah untuk kami meneruskan kehidupan,” katanya lagi.

Janaga hanya meraih pendapatan sebanyak RM700 sebulan dan terpaksa menyara lagi dua adiknya yang masih bersekolah.

Kerajaan negeri akan mengenalpasti tapak rumah yang sesuai untuk didiami Janaga sekeluarga dalam masa terdekat.

Sementara itu, Latchamy pula berkata, bantuan itu cukup membantu meringankan bebanan kehidupan yang ditanggungnya sebagai ibu tunggal.

“Saya rasa gembira dengan bantuan ini …..terima kasih kepada kerajaan negeri,” katanya ringkas.

Latchamy tinggal hampir 20 tahun di Kampung Datuk Seri Kamaruddin bersama enam orang anaknya.

Malangnya, hampir 50 peratus rumah yang diduduki telah diserang anai-anai hingga dikhuatiri akan membahayakan keselamatan mereka sekeluarga.

Justeru, kerajaan negeri melalui Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) bakal menyalurkan bantuan bagi membaik pulih rumah Latchamany sempena perayaan Deepavali, tahun ini.

Sementara itu, Penasihat Menteri Besar, Datuk V.Elango menjelaskan sambutan Deepavali tahun ini memberi fokus dan penambahbaikan untuk membantu golongan yang memerlukan dan kurang berkemampuan.

“Tahun ini, kawasan Manjung dipilih sebagai lokasi penyaluran bantuan dan pada masa akan datang lokasi lain pula akan dipilih,” katanya.

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");