Berita Hari Ini

Media sosial dimasukkan dalam pemerkasaan Akta Hasutan

Media sosial, agama serta isu Sabah dan Sarawak antara faktor yang akan diambil kira dalam memperkasa Akta Hasutan yang akan dipinda tahun depan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata, selain itu beberapa faktor lain turut akan diteliti dan diperincikan pihaknya sebelum pemindaan akta berkenaan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen dijangka pada Mac depan.

“Ketika akta itu dibuat pada 1948 masih belum ada media sosial, beberapa medium komunkasi juga tiada ketika itu. Malah terlalu banyak isu keagamaan yang sensitif dibangkitkan.

“Soal Sabah dan Sarawak juga dalam Akta Hasutan ketika ini tidak ada menyebut (tindakan ke atas) mana-mana individu atau organisasi yang mahu membawa negeri itu keluar dari Malaysia,” katanya pada Ahad.

Justeru, beliau bersama penasihat undang-undang Kementerian Dalam Negeri akan mengadakan perbincangan dengan Peguam Negara serta pengamal undang-undang bagi meneliti beberapa aspek yang perlu dipinda untuk memperkasakan akta itu.

“Ketika Akta Hasutan sedia ada dibuat, masih belum wujud media sosial dan beberapa medium komunikasi lain. Pada 20 atau 30 tahun akan datang, mungkin istilah yang ada pada hari ini tidak lagi sesuai, maka ia harus diperkemaskan untuk generasi akan datang.

“Pada masa ini juga terlalu banyak isu menyentuh sensitiviti keagamaan dibangkitkan bukan hanya dari orang Islam, tetapi juga sebaliknya, perkara ini tidak seharusnya dibiarkan dan tindakan segera ke atas mana-mana individu atau organisasi perlu dilakukan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, isu membawa keluar Sabah dan Sarawak juga perlu diambil kira kerana pada ketika ini, tiada tindakan diperuntukkan undang-undang melalui akta itu terhadap mana-mana individu atau organisasi yang mahu membawa negeri itu keluar dari Malaysia.

“Pindaan akta ini dijangka dibentang dan dibahaskan pada persidangan Parlimen, Mac tahun depan, dan sekiranya diluluskan serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Peguam Negara akan mengambil tindakan,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini peruntukan undang-undang memberi kuasa kepada SKMM melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk mengambil tindakan ke atas salah laku Internet, justeru suruhanjaya itu digesa menjalankan siasatan dengan kerjasama PDRM sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan, kerajaan tidak akan sama sekali berkompromi dalam sebarang desakan mana-mana pihak untuk membawa pulang abu mayat pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng.

“Berapa ramai yang mati (akibat kekejaman Chin Peng) berbanding (mereka) yang mahu menghormati Chin Peng? Kita tidak benarkan sama sekali (bawa pulang abu mayat) kerana kita amat menghormati sensitiviti keluarga anggota polis, tentera dan juga rakyat Malaysia yang terkorban angkara kekejaman Chin Peng,” katanya.-30/11/2014-agendadaily

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");