Jenayah

Empat tokan dadah kena cekup

SABAK BERNAM – Sangkanya penagih, rupa-rupanya polis! Itu yang berlaku kepada dua tokan dadah warga Myanmar yang dicekup di Bagan Sungai Besar, kelmarin.

Dua lelaki terbabit antara empat pengedar dadah dan 18 penagih dadah yang dicekup polis pada ‘Ops Sarang’ yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, JSJ Bukit Aman dan JSJ Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.

Timbalan Ketua JSJ IPK Selangor, Superintendan Ravi Chandran V Ramachandran berkata, dua lelaki warga Myanmar itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi selepas menghampiri polis yang berpura-pura menjadi penagih dadah.

“Sebaik menghampiri polis dengan berbasikal, kedua-dua suspek seolah-olah terkejut selepas kami memperkenalkan diri sebagai polis lalu mereka cuba melarikan diri, namun polis berjaya mencekup kedua-duanya,” katanya.

Ramachandran berkata, dalam keadaan panik itu, salah seorang suspek telah membuang satu bungkusan kertas di atas lantai.

“Hasil pemeriksaan polis pada bungkusan kertas itu menemui satu paket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 15.4 gram dan tiga paket lutsinar mengandungi dadah jenis syabu seberat dua gram,” katanya.

Terdahulu katanya, pihaknya berjaya mencekup seorang lagi tokan di kawasan yang sama kira-kira jam 10 pagi.

“Kami ternampak kelibat seorang lelaki warga Myanmar yang mencurigakan di Jalan 1 Bagan Sungai Besar lalu menghampiri lelaki terbabit sebelum suspek cuba melarikan diri.

“Semasa pergelutan itu, salah seorang anggota polis berjaya merampas satu beg pinggang yang dipakai suspek. Hasil pemeriksaan di dalam beg itu menemui 20 paket plastik lutsinar mengandungi heroin seberat 33 gram dan lima paket lutsinar berisi dadah jenis syabu
seberat 0.8 gram,” katanya.

Katanya, seorang lagi tokan dadah ditahan kira-kira jam 5 petang di kawasan sama.

“Polis telah merampas beg silang yang dipakai suspek dan menemui sembilan paket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 8.75 gram dan satu paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 1.05 gram,” katanya.

Katanya, kesemua suspek yang ditahan itu akan direman selama 14 hari dan empat kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 A (2) ADB 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan.

Selain itu, seramai 18 penagih yang lain akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) (a) ADB yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000 dan pengawasan polis.

Katanya, polis telah melancarkan operasi gempur ‘port’ dadah di dua lokasi iaitu di Bagan Sungai Besar dan Jalan Pantai Sungai Limau dua minggu lalu.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");