Jenayah

Polis tahan tokan dadah

KUANTAN – Seorang lelaki yang dipercayai menjadi pembekal kepada mat gian di sekitar Gambang di sini berjaya diberkas polis dalam satu operasi khas di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Paya Bungor, Gambang, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 1.05 petang itu, sekumpulan lelaki yang sedang berkumpul di tepi sungai di ladang berkenaan bertempiaran melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, polis bagaimanapun berjaya menahan lelaki berusia 29 tahun selepas berlaku pergelutan kecil.

Menurutnya serbuan dilakukan anggota anggota dari Balai Polis Gambang dan di bantu Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

“Sebelum serbuan, kita sudah melakukan beberapa intipan dan pemantauan lebih seminggu bagi menangkap individu terbabit,” katanya.

Beliau tidak menafikan, kawasan berkenaan menjadi port kepada penagih dadah di kawasan berdekatan melepaskan gian mereka selain dirasakan selamat kerana jauh dari kediaman.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas beg galas suspek, polis menemui tiga paket serbuk dan satu paket hablur disyaki dadah, wang tunai berjumlah RM6,630.00, satu alat penimbang dan tiga telefon mudah alih.

“Selepas semakan lanjut mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau selain positif dadah selepas ujian saringan air kencing,” katanya.

Abdul Aziz berkata, lelaki yang berasal dari Kampung Gelugor, Gambang itu dibawa ke IPD Kuantan untuk siasatan lanjut termasuk bekalan dadah yang diterima.

Menurutnya, polis percaya suspek aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah di kawasan itu dan sentiasa berada di lokasi itu untuk menyerahkan bekalan kepada penagih.

Justeru, katanya polis tidak akan berhenti memantau kawasan yang disyaki dan menerima aduan orang ramai bagi mengekang kegiatan pengedaran dan penagihan dadah.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");