Berita Hari Ini

Henti tindas pencinta haiwan

BAGAN SERAI – “Sedangkan seorang pelacur terselamat azab neraka hanya kerana bersifat belas kasihan terhadap seekor anjing kehausan, mengapa kita cuba berlaku zalim terhadap pencinta haiwan?”

Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali menyuarakan kekesalan di atas tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengusir seorang ‘penyelamat’ 700 anjing dan kucing terbiar, Halijah Idris, 58, dari premis didiaminya di Alor Setar, Kedah sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, agama Islam amat menekankan aspek kecintaan terhadap haiwan di muka bumi ini dan kisah seorang pelacur terselamat azab neraka sebagaimana diriwayatkan dalam sebuah hadis nabi seharusnya menjadi ikhtibar utama dalam perkara ini.

“Isu membendung penderaan dan pembunuhan haiwan seringkali saya bahaskan pada Dewan Rakyat tahun lalu dan kita sebagai khalifah di muka bumi ini seharusnya mencintai haiwan.

“Apabila tersebar cerita seekor harimau bunting mati dilanggar dalam satu kemalangan di sebuah lebuhraya, banyak orang berasa sensitif malah ada yang menggesa tindakan tegas diambil terhadap pemandu kerana melanggar haiwan diancam kepupusan itu.

“Tapi apabila melibatkan anjing dan kucing liar, si penyelamat pula yang dikecam dan dicerca seolah-olah melakukan satu dosa besar dan situasi ini amat tidak adil,” katanya kepada media di sini semalam.

Dr Noor Azmi berkata, agama Islam tidak membenarkan umatnya menyentuh anjing, namun ia bukan tiket untuk kita membenci haiwan itu dan berlaku zalim.

Menurutnya, inisiatif Halijah atau lebih dikenali Mek Intan sewajarnya dijadikan tauladan kepada generasi muda supaya bersikap cintakan haiwan, bukan dijadikan bahan cerca.

“Berikutan itu, saya mencadangkan kesemua anjing dan kucing betina liar dibela Mek Intan dikasi bagi mengelakkan pertambahan pembiakan tidak terkawal.

“Saya difahamkan kos mengkasi kedua-dua haiwan itu mahal, bagi seekor anjing RM150 manakala kucing RM70.

“Justeru, dalam senario Mek Intan, saya cadangkan kepada mana-mana doktor veterinar yang ingin berbakti agar memberi perkhidmatan kasi percuma atau mengenakan bayaran sepenuh harga,”katanya.

Dr Noor Azmi turut mencadangkan mana-mana persatuan pencinta haiwan di Malaysia melancarkan satu tabung derma kilat bagi membantu memandulkan anjing dan kucing liar dipelihara Mek Intan.

“Janganlah kita bertindak zalim sehingga cuba menghalau Mek Intan yang sanggup menyelamatkan dan membela 700 anjing dan kucing terbiar daripada kediamannya.

“Perkara ini amat menyentuh hati saya dan berharap masyarakat negara ini dapat mengubah persepsi negatif terhadap pencinta haiwan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");