Jenayah

Polis tahan 2 lelaki Nigeria, rampas syabu RM765,000

KUALA LUMPUR: Polis melumpuhkan sindiket pengedaran dadah didalangi warga asing susulan penahanan dua lelaki warga Nigeria di sebuah kondominium di Kota Damansara dekat sini, semalam.

Dalam operasi kira-kira 2.20 petang itu, sepasukan anggota dari Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman menahan dua suspek itu yang berusia 26 dan 29 tahun.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Haris Wong Abdullah berkata pihaknya turut merampas 5.1 kilogram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM765,000.

“Suspek ditahan ketika sedang memunggah lima alat penghawa dingin mudah alih yang mengandungi dadah.

“Suspek meletakkan dadah di dalam alat penghawa dingin mudah alih itu bertujuan mengelak kegiatan itu dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Polis turut menyita sebuah kenderaan Nissan Sentra bernilai RM10,000.

Haris berkata siasatan awal mendapati suspek membawa masuk bekalan dadah itu menggunakan perkhidmatan syarikat kurier dan pengangkutan kargo laut.

“Suspek baru bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah dan berada di negara ini kira-kira setahun lepas.

“Bekalan dadah itu dipercayai mampu menampung bekalan selama sebulan untuk 8,500 penagih,” katanya.

Kedua-dua suspek itu direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui akaun Twitter merakamkan ucapan tahniah di atas tindakan itu.

Dalam perkembangan lain, Haris berkata tahun ini, seramai 62,969 individu ditahan berhubung pelbagai kesalahan dadah dan merampas dadah bernilai RM93.44 juta dalam tempoh Januari sehingga 21 April lepas. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");