Sukan Hari Ini

Ketepi duka 1998

Johor Bahru: Bekas penjaga gol Sabah Khairul Azman Mohamed pernah dikecewakan Johor di pentas final Piala FA 1998, namun kali ini beliau berdepan tugas berbeza – untuk membantu Johor Darul Ta’zim (Johor DT) membawa pulang kembali trofi ke selatan tanah air selepas 18 tahun.

Khairul Azman, 48, menyertai Johor DT pada 2013 dan beliau antara individu penting dalam membimbing tiga penjaga gol Farizal Marlias, Izham Tarmizi Roslan dan K Sasi Kumar.

Biarpun kekalahan 0-1 kepada Johor pada final 1998 di Stadium Likas masih berada dalam ingatan, beliau berharap Johor DT dapat menyempurnakan impiannya merangkul Piala FA selaku jurulatih.

“Memang jika ingat kembali kekalahan itu memang sedih sebab tidak dapat meraikan kejayaan di depan penyokong. Tapi, kenangan itu saya tolak tepi kerana fokus sekarang adalah kejayaan bersama Johor DT.

“Pada 2013 kami kalah 0-1 kepada Kelantan, jadi kali ini saya harap kemenangan memihak kepada kami sebagai kenangan untuk saya sebagai jurulatih (penjaga gol).

“Saya amat berterima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) kerana memberi peluang kepada saya mencurahkan segala pengalaman kepada pemain,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Sepanjang kariernya sebagai pemain, Khairul Azman beraksi dalam empat perlawanan akhir Piala FA, namun hanya sekali berjaya menjulang trofi itu bersama Sabah pada 1995.

Ketika ditanya mengenai tahap prestasi penjaga gol utamanya Farizal dan Izham, bekas penjaga gol kebangsaan yang berasal dari Kuantan, Pahang itu berkata, kedua-dua pemain berkenaan sudah bersedia untuk mengharungi aksi final dengan PKNS C di Stadium Shah Alam Sabtu ini.

“Insya-Allah sesiapa saja yang diturunkan pasti akan bersedia untuk memberi tumpuan 200 peratus. Untuk memilih siapa yang akan bermain sebagai penjaga gol, saya akan berbincang dengan Mario Gomez dan terpulang kepadanya membuat keputusan,” kata Khairul Azman.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");