Jenayah

Maut balik niaga

Kota Tinggi: “Kenderaan dinaiki mereka dirempuh Proton Waja yang bergerak laju menyebabkan dua daripadanya tercampak keluar dari kereta dinaiki,” kata Mohamed Muhamed Noh, 50, bapa kepada dua beradik yang maut dalam kemalangan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.36 pagi, perjalanan sebuah keluarga dengan menaiki dua kenderaan secara berasingan selepas selesai aktiviti perniagaan di bazar Ramadan bertukar tragedi apabila dua daripadanya maut dalam kemalangan di Kilometer 37, Jalan Johor Bahru-Mersing, berhampiran persimpangan Tai Hong, di sini.

Mangsa, Nursyahirah Mohamed, 23, dan adiknya, Nurhayati, 10, maut di tempat kejadian manakala dua lagi adik-beradiknya, Nursuhailah, 22, dan Nurfithriyati, 15, cedera parah dan dirawat di Hospital Sultan Ismail.

Mohamed berkata, ketika kejadian mereka sekeluarga dalam perjalanan balik ke rumah di Kampung Sungai Telor selepas berniaga di bazar Ramadan.

Katanya, empat anaknya itu menaiki kereta Perodua Kancil yang dipandu anak sulung, Nursyahirah manakala dia dan isteri, Fatimah Abd Wahid, 47, menaiki van.

Mohamed berkata, sebaik tiba di simpang jalan, Perodua Kancil yang dinaiki anak-anaknya dirempuh Proton Waja yang bergerak laju.

“Kejadian berlaku di hadapan mata kami dan sebaik keluar dari van, kami dapati anak sulung sudah meninggal dunia.

“Anak bongsu kami, Nurhayati ketika itu nazak dan menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian,” katanya.

Bapa lima anak itu berkata, seorang daripada anaknya sedang menuntut di Pagoh manakala empat lagi rajin membantu dia bersama isterinya berniaga apam balik setiap malam di bazar.

Beliau berkata, dua beradik terbabit tidak menunjukkan sebarang perubahan, cuma beberapa hari lalu berebutkan beg diberikan kepada mereka.

“Pada awalnya masing-masing mahu beg itu, namun akhirnya mereka berdamai dan sepakat untuk berkongsi beg berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman berkata, kemalangan berkenaan membabitkan empat kenderaan iaitu Perodua Kancil, Perodua Viva, Proton Waja dan van Nissan Vanette.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Waja yang menghala ke Kota Tinggi hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Kancil yang menghala ke Taman Sri Saujana.

Katanya, pelanggaran itu menyebabkan Perodua Kancil berpusing dan bergesel dengan van dan melanggar belakang Perodua Viva yang berada di hadapannya.

-Harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");