PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) menafikan desas-desus bahawa perancang importnya, Liridon Krasniqi telah dibenarkan untuk berpindah ke pasukan lain pada perpindahan pemain kedua Liga Malaysia 2017 pertengahan Mei ini.
KFA berkata demikian selepas Facebook rasmi mereka dihujani pertanyaan daripada penyokong Kedah semalam yang mahukan kesahihan selepas sebuah rancangan bolasepak di televisyen sedikit menyentuh hala tuju Liridon pada masa hadapan selain dikaitkan dengan gergasi bolasepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Bagaimanapun, pemain Kosovo itu masih mempunyai kontrak bersama Hijau Kuning sehingga tahun 2018.
Mengulas tentang perkara tersebut, Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata, perkara tersebut merupakan lumrah di dalam sukan bolasepak dan perlu dihadapi oleh mereka yang terlibat.
“Saya akui perkara seperti ini sudah tentu menganggu tumpuan pemain dan pasukan namun mereka perlu profesional untuk mengendalikannya bagi memastikan komitmen penuh dapat diberikan kepada pasukan,” katanya.