Jenayah

Zon Bebas Cukai Jadi Sarang Penyeludup

JOHOR BAHRU 25 April – Zon Bebas Cukai khususnya di Selangor, Pulau Pinang dan Johor dikenal pasti sebagai ‘sarang’ sindiket menjalankan aktiviti penyeludupan minuman keras dan rokok ke negara ini sehingga mengakibatkan kerajaan kehilangan hasil kutipan cukai mencecah ratusan juta ringgit setiap tahun.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk T. Subromaniam berkata, sehubungan itu, JKDM telah mengambil langkah drastik bagi mengekang jenayah berkenaan dengan menguatkuasakan satu undang-undang baharu iaitu Perintah Kastam (Larangan Me­ngenai Import) 2017 sejak 1 April lalu.

“Menerusi pelaksanaan undang-undang ini, setiap barang yang transit di Zon Bebas Cukai seluruh negara perlu diikrarkan bagi memastikan kesahihan urusan membabitkan barang berkenaan.

“Ini secara tidak langsung dapat mengekang sindiket yang menjadikan Zon Bebas Cukai sebagai tempat simpanan minuman keras dan rokok sebelum diseludup masuk secara haram,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Menara Kastam Johor, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah JKDM negeri, Datuk Jaafar Mat Jawi.

Terdahulu, Subromaniam tu­rut memaklumkan kejayaan JKDM merampas 16 kontena berisi minuman keras bernilai RM5.4 juta dengan anggaran cukai lebih RM20 juta menerusi dua serbuan berasingan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, dekat sini, minggu lalu.

“Dalam serbuan pertama pada 17 April lalu, sebanyak 14 kontena mengandungi 44,000 peti bir dan wiski pelbagai jenama ditemukan disimpan dalam gudang manakala serbuan kedua pada Sabtu lalu, sebanyak 115,200 tin minuman keras pelbagai jenama dirampas.

“Semua rampasan itu dilakukan terhadap dua kontena yang dibawa menaiki dua lori ber­asingan. Dalam serbuan itu, dua pemandu lori berusia 30-an ditahan bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Tambah Subromaniam, sejak undang-undang baharu itu dilaksanakan, pihaknya telah merampas berpuluh kontena berisi minuman keras dan rokok dengan nilai cukai dianggarkan mencecah ratusan juga ringgit.

“Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu terlibat dalam mengimport barang larangan dan Seksyen 135(1)(e) akta yang sama kerana terlibat dalam mengangkut barangan lara­ngan,” katanya.

Pada 19 Mac lalu, Mingguan Malaysia menerusi laporan khas bertajuk Rasuah ala strategi lautan biru turut mendedahkan berhubung kegiatan penyeludupan ro­kok dan minuman keras dari Indonesia dikesan semakin berleluasa dengan menjadikan laluan laut sebagai jalan utama membawa masuk barangan berduti tinggi itu ke negara ini.

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");