Perak Hari Ini

Pengguna Khuatir Harga Barangan Meningkat

IPOH: Kenaikan harga beberapa bahan mentah dikatakan berlaku sejak dua minggu lalu malah ia menimbulkan kegusaran dikalangan para pengguna.

Tinjauan Peraktoday di pasar besar di sini mendapati, berlaku kenaikan pada harga beberapa barang keperluan termasuk sayuran dan ayam terutamanya apabila bermulanya musim Ramadhan.

Menurut orang awam yang ditemui, Suraya Rosli, kenaikan harga ayam sangat ketara berbanding minggu lepas apabila seekor ayam bersaiz sederhana berharga sekitar RM18.

“Selalunya bagi saiz sederhana cuma sekitar RM17 seekor tetapi semalam saya dapati harga ayam sederhana sudah mencecah RM18 iaitu harga bagi saiz ayam yang besar,”katanya.

Tambahnya lagi, paling ketara harga bagi sayuran seperti kacang buncis, lobak merah dan bunga kobis yang mana peniaga telah terlebih dahulu membahagikan sayuran mengikut bekas dan pinggan untuk dijual hingga pengguna menjadi keliru mengenai kuantiti dan harga sebenar.

“Peniaga meletakkan sayur itu didalam bekas-bekas tanpa menyatakan kuantitinya dan tiga sayuran iaitu kacang buncis, lobak merah dan bunga kobis yang saya beli mencecah hingga RM17,”katanya.

Bagi pengguna Siti Zulaikha Abdul Rahman peniaga disaran untuk mempamerkan tanda harga kerana segenlintir daripada mereka tidak mempamerkannya hingga mengakibatkan kekeliruan dan pengguna rasa tertipu.

“Kadang kala kita tidak tahu harga sebenar barangan itu jika dipamerkan tanda harga mudah bagi kami berbelanja,” katanya yang turut mendapati harga bahan mentah seperti ayam mengalami peningkatan.

Sementara itu Peniaga sayur, Mohd Izwan Borhan berkata, kenaikan harga sayuran berlaku sejak dua minggu lalu berkemungkinan disebabkan beberapa faktor semasa.

Bagaimanapun, katanya semua sayuran itu masih boleh dijual dengan harga tidak keterlaluan sehingga membebankan pengguna, walaupun keuntungan diperolehnya tidak banyak.

Bagi peniaga ayam, Mohd Sufian Bakar kenaikan harga ayam ketika ini turut berpunca daripada permintaan ayam yang meningkat terutama pada musim ini.

Beberapa pengguna yang ditemui meminta Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kedah dapat membuat pemantauan untuk membendung kenaikan beberapa barangan itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");