Berita Hari Ini

Siasatan SPRM Profesional, Patuhi SOP

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyangkal dakwaan kononnya telah menerima arahan untuk ‘membutakan mata’ terhadap bukti serta mengugut saksi dalam siasatan kes melibatkan seorang pegawai kanan Lembaga Tabung Haji.

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan menegaskan bahawa SPRM sentiasa bersikap profesional dan mengikut ‘rule of laws’ semasa menjalankan siasatan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Menurut kenyataan itu, tangkapan atau penahanan yang dilakukan SPRM bertujuan untuk membantu siasatan berdasarkan asas-asas kukuh.

“SPRM sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP), undang-undang dan peraturan yang ditetapkan semasa menjalankan siasatan dengan telus, bebas dan profesional tanpa memihak kepada mana-mana individu atau organisasi demi membersihkan negara ini daripada jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Perbuatan mengeluarkan kenyataan oleh mana-mana pihak atau individu berhubung kes yang sedang disiasat boleh mengganggu dan menjejaskan perjalanan siasatan yang juga seolah-olah memaksa SPRM mendedahkan hasil siasatan kepada masyarakat.

“SPRM tidak akan membuat sebarang pendedahan terhadap hasil siasatan dan hanya akan menyerahkan kertas siasatan yang lengkap kepada Jabatan Peguam Negara selaku Pendakwa Raya bagi membuat keputusan secara profesional,” katanya di sini hari ini, lapor Utusan Online.

Terdahulu, Peguambela dan Peguamcara, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili seorang Pegawai Kanan Lembaga Tabung Haji dilaporkan menganggap siasatan terhadap anak guamnya dijalankan secara berat sebelah.

Dakwanya, anak guamnya sudah menyerahkan semua bukti komunikasi dengan syarikat kontraktor berkenaan bahawa kos bagi kerja pengubahsuaian dapur rumah beliau ditanggung sendiri namun pihak SPRM ‘membutakan mata’ terhadap bukti berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");