Berita Hari Ini

PBB Lemah Tidak Mampu Rungkai Ketidakadilan – PM

NEW YORK: Meskipun dikenali sebagai organisasi besar yang terdiri daripada pelbagai negara, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lemah kerana tidak mampu bertindak merungkai ketidakadilan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri ketika mengutarakan pendirian itu berkata, ia dicerminkan melalui kegagalan pertubuhan berkenaan untuk campur tangan menangani isu ‘domestik’ seperti kebakaran hutan yang menghasilkan kepulan asap berbahaya sehingga menjejaskan negara jiran, selain polemik peperangan menentang rakyat sendiri.

“Kita boleh bersyarah. Kita boleh berdoa. Kita boleh meminta mereka ‘jangan buat perkara sedemikian’, tetapi perilaku terbabit tetap diteruskan kerana kita tidak menyerang negara berkaitan untuk menghapuskan rejim seperti itu,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Kepemimpinan Dunia Universiti Columbia, di sini, semalam.

Penyampaian ucaptama bertajuk ‘Kedaulatan Undang-Undang dan Multilateralisme’ hampir sejam itu turut disaksikan hampir 300 hadirin yang memenuhi segenap ruang legar perpustakaan universiti berkenaan.

Dr Mahathir berkata, ancaman sebenar ketika ini lebih terarah kepada isu ‘unilateralisme’ atau prinsip membuat keputusan tanpa persetujuan pihak lain.

Beliau berkata, ia seperti yang dilakukan negara kuasa besar dalam merangka percaturan demi kepentingan peribadi tanpa mempedulikan perasaan dan kesan terhadap orang lain.

“Masalahnya ialah kita tidak menghormati PBB. Negara besar dan berkuasa langsung tidak mengendahkan PBB serta resolusi yang dirangkanya. Apabila perkara sebegini terjadi, negara kecil akan mengikut tindak-tanduk mereka.

“Sekarang kita lihat malah negara kecil seperti Myanmar boleh bersikap ‘besar kepala’ dengan PBB,” katanya.

Perdana Menteri berkata, sistem sedia ada PBB tidak membenarkan sebarang bentuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggota, namun akan tiba masanya isu seperti kebakaran hutan berupaya bertukar parah sehingga menyebabkan seluruh dunia ‘diselubungi’ jerebu.

Ketika itu, beliau berkata, PBB berkemungkinan mengambil pendirian bahawa masyarakat dunia harus bertindak merangka penyelesaian memandangkan ia bukan lagi hal ehwal dalaman negara anggota, sebaliknya menjadi polemik global.

“Jika kita mempunyai kerangka pemikiran sedemikian, maka kita boleh melakukan sesuatu,” katanya.

Mengambil contoh campur tangan Amerika Syarikat (AS) di Iraq ketika memburu dan menggulingkan bekas Presiden negara itu, Saddam Hussein, Dr Mahathir mengutarakan persoalan mengapa percaturan serupa tidak dilakukan dalam kes Myanmar kerana hingga kini, rakyat di wilayah Rakhine terpaksa menanggung penderitaan berpanjangan.

Memetik laporan Berita Harian, beliau menyifatkan sikap ‘berpeluk tubuh’ dicerminkan Kaunselor Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi dalam merungkai peperangan terhadap golongan minoriti Rohingya sebagai sesuatu yang malang.

“Kita bersimpati dengannya (Suu Kyi) dan berkempen demi menuntut pembebasannya, tetapi sekarang beliau tidak mempertahankan rakyatnya yang berdepan penindasan.

“Kita berharap beliau tidak bersekongkol dengan kerajaannya, rupa-rupanya beliau belum, tidak boleh atau tidak akan (berbuat demikian),” katanya.

Ditanya mengenai pendekatan Malaysia dalam isu pengaruh kuasa besar di rantau Asia, Dr Mahathir berkata, “Kita harus menerima hakikat bahawa kita tidak mampu berperang dengan mereka, justeru kita perlu mengalah dalam pelbagai perkara.”

Memetik contoh tuntutan China terhadap Laut China Selatan, Dr Mahathir berkata, kuasa besar Asia itu boleh berbuat demikian, asalkan memberi ‘lampu hijau’ untuk semua kapal melalui perairan berkenaan.

“Itu tuntutan mereka, kita juga boleh buat perkara sama dengan mengatakan Australia ialah sebenarnya milik kita, tetapi Australia tidak akan mengendahkannya kerana tahu ia adalah sesuatu yang mustahil terjadi.

“Malaysia masih boleh meraih manfaat kerana kita tidak mempertikaikan tuntutan China, namun hakikat sebenar kekal, iaitu Selat Melaka masih menjadi kepentingan utama kepada perdagangan Timur-Barat.

“Sekiranya perairan itu ditutup, China akan mengalami penderitaan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");