Berita Hari Ini

Universiti Diminta Lahirkan Graduan Berilmu, Beradab – Sultan Kedah

SINTOK: Universiti diminta bukan sahaja menjadi tempat melahirkan mualim tetapi juga muadib dengan memberi pencerahan mengenai adab kerana insan yang berilmu dan beradab akan menjadi aset bernilai kepada masyarakat.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah, bertitah ia adalah seperti yang dijelaskan oleh ilmuan Islam terkemuka, Syed Muhammad Naquib Al-Attas bahawa adab mempunyai hubung kait dengan semua aspek kehidupan manusia sama ada dari sudut falsafah, ilmu pengetahuan, etika, estetika, persekitaran dan sebagainya.

Titah baginda, adab apabila digabungkan dengan kebijaksanaan akan menjadi teras utama dalam menzahirkan perpaduan sesebuah masyarakat.

“Kedua-dua elemen berkenaan perlu disemai dan disuburkan dalam sesebuah negara khususnya bagi negara majmuk seperti Malaysia supaya perpaduan yang sekian lama wujud dapat dilestarikan demi masa depan negara.

“Oleh yang demikian, beta ingin mengingatkan kepentingan perpaduan dalam pembangunan sesebuah negara kerana tanpa perpaduan dan keharmonian adalah mustahil negara kita maju seperti hari ini,” titah baginda sempena Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-32 di sini, hari ini.

Turut berangkat, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff dan Raja Mudah Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sultan Sallehuddin, bertitah peranan graduan tidak boleh dipandang ringan kerana ia mampu mencorakkan masa depan negara seperti kata orang tua-tua ‘ikan sekambu rosak oleh ikan seekor.

Baginda turut menyeru konsep ‘islah’ diterapkan bagi memastikan segala yang dilakukan membawa perubahan yang baik dalam masyarakat.

“Ambil pandangan orang lain terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kesimpulan agar hasilnya mampu mengubah masyarakat dan bukan sekadar mengocak air yang tenang.

“Berikanlah keadilan yang menjadi hak sejagat di tempat yang sewajarnya.

“Utamakan perkara yang lebih penting dan membawa kebaikan kepada masyarakat umum lebih daripada kepentingan individu dengan prinsip ‘mashalah’ iaitu perbuatan yang mengandungi kebaikan dan manfaat dan tangani sesuatu perkara dengan penuh berhemah dan tidak secara terburu-buru.” titah Sultan Sallehuddin.

Dalam pada itu, baginda menasihatkan agar graduan mempunyai semangat kental dan tidak mudah luntur selain perlu mengikis konsep ‘gagal’ dalam diri sendiri kerana pintu rezeki sentiasa terbuka luas lapor Harian Metro.

Dalam istiadat konvokesyen UUM yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini, seramai 5,757 graduan bakal menerima ijazah masing-masing, dengan 89 daripadanya menerima ijazah daripada baginda.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");