Berita Hari Ini

Covid-19: Agong Bimbang, Titah Rakyat Main Peranan Bantu KKM

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan susulan pengesanan 28 kes baharu jangkitan koronavirus (Covid-19) semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata, Seri Paduka Baginda menitahkan rakyat Malaysia untuk memainkan peranan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani penularan jangkitan Covid-19 di negara ini.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda menyeru rakyat memberi kerjasama sepenuhnya kepada KKM bagi proses siasatan dan mengenal pasti kontak rapat pesakit baharu tersebut supaya jangkitan Covid-19 dibendung dengan segera dan berkesan.

“Seri Paduka Baginda bertitah rakyat turut digesa untuk menghubungi Khidmat Nasihat Kesihatan Dalam Talian atau Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara CPRC) melalui laman sesawang KKM untuk sebarang keraguan dan pertanyaan serta maklumat,” katanya.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah turut menasihatkan rakyat supaya patuh kepada panduan dan langkah pencegahan yang dikeluarkan KKM untuk mengelak penularan Covid-19.

Semalam, Sinar Harian melaporkan angka positif Covid-19 terus meningkat kepada 83 kes apabila KKM mengesahkan menerima 28 kes baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, kes baharu itu terdiri dalam kalangan Patient-Under-Investigation (PUI), kontak rapat dan Misi Bantuan Kemanusiaan.

“Sehingga kini, sebanyak 956 kontak rapat telah dikenal pasti,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");