Perak Hari Ini

Sultan Perak Perkenan Dana Khas Zakat RM11.95 juta Diagih Kepada Yang Memerlukan – MAIPk

IPOH: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) memperuntukkan Dana Khas Agihan Zakat berjumlah RM11.95 juta bagi meringankan beban rakyat di negeri ini yang sedang menghadapi pandemik wabak Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari berkata Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyedari dan prihatin bahawa pandemik itu memberi kesan langsung dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau berpendapatan rendah.

Justeru katanya Baginda telah menitahkan dan memberi perkenan agar sumber zakat negeri dapat memperuntukkan dana khas yang bertujuan untuk meringankan beban golongan tersebut.

“Keseluruhannya berjumlah RM11.95 juta. Daripada angka itu, RM11.11 juta daripada peruntukan zakat, RM30,000 sumbangan Pengerusi Yayasan SP Setia manakala sebanyak RM800,000 adalah sumbangan daripada bahagian zakat beberapa sektor korporat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, dana khas itu bertujuan untuk membiayai lapan inisiatif yang menyasarkan golongan yang memerlukan.

Antaranya inisiatif tersebut ialah bantuan Kotak Makanan tambahan sebanyak RM240,000, bantuan kecemasan kelangsungan hidup sebanyak RM5.8 juta serta bantuan khas modal pusingan (RM2 juta).

Katanya bantuan kecemasan kelangsungan hidup itu menyasarkan kepada ketua isi rumah yang berpendapatan RM2,000 dan ke bawah yang terjejas sumber pendapatan ketika ini.

Selain itu, MAIPk turut memperuntukkan dana RM100,000 (bantuan terputus bekalan makanan) untuk mahasiswa di seluruh Perak yang masih tinggal di tempat pengajian mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Sementara dana jumlah sama turut diperuntukkan kepada bantuan pengurusan dan kebajikan pelajar anak Perak yang sedang melanjutkan pelajaran di luar negara.

“MAIPk turut memperuntukkan RM500,000 untuk Sumbangan Khas Petugas Barisan Hadapan Covid-19 yang akan disalurkan melalui Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan agensi-agensi lain.

“Selain itu, turut diperuntukkan RM1 juta terhadap sumbangan khas peralatan kesihatan dan perubatan, RM1.5 juta untuk sumbangan khas peralatan pencegahan Covid-19 dan RM710,000 bagi pelan kontingensi,” katanya.

Tambahnya lagi, sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman rasmi Facebook Zakat Perak-MAIPk dan Portal Rasmi MAIPk di pautan http://maiamp.gov.my/.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");