Berita Hari Ini

Kumpulan curi daging sejuk beku tumpas

Polis berjaya memberkas empat lelaki, termasuk seorang disyaki dalang kegiatan mencuri daging sejuk beku dengan memecah masuk premis menyimpan produk terbabit.

Semua suspek ditangkap hasil kecekapan pasukan Bahagian Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, menahan sebuah lori membawa muatan daging sejuk beku disyaki dicuri, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata terdahulu pihaknya menerima laporan daripada seorang pemilik premis pada 4 April lalu, memaklumkan bahawa tempat penyimpanan daging sejuk beku di kedainya berdekatan Taman Inderawasih, Perai, didapati telah kosong dengan pintu terbuka.

Berdasarkan laporan diterima, beliau berkata, mangsa mengesyaki premisnya dipecah masuk sehingga menyebabkan kerugian RM300,000.

Semalam, katanya, sebuah premis menyimpan daging sejuk beku di Kulim, Kedah, turut dilaporkan dipecah masuk yang disyaki dilakukan kumpulan sama.

Susulan itu, beliau berkata, polis melakukan intipan dan mengekori sebuah lori dari Pulau Pinang ke Johor Bahru sebelum menangkap empat lelaki berusia 27 hingga 37 tahun di kawasan parkir berhampiran sebuah stesen minyak dekat Senai pada jam 2.40 petang.

Dalam serbuan itu, Shafee berkata, polis turut merampas 395 kotak daging sejuk beku aneka jenama dan pelbagai peralatan dipercayai untuk kegunaan pecah masuk kedai.

“Hasil soal siasat, kesemua suspek berasal dari Johor Bahru itu mengaku melakukan kegiatan mencuri daging sejuk beku di Perai dan Kulim, Kedah.

“Lelaki berusia 32 tahun disyaki dalang kegiatan itu dipercayai mencari sasaran kedai sejuk beku di utara melalui Facebook dan Google, kerana tidak mahu dikesan polis di selatan berikutan telah banyak kali ditangkap di sana atas jenayah yang dilakukan.

“Dalang itu ada rekod lampau dalam kegiatan pecah kedai dan disyaki mengajak tiga lagi yang lain untuk terbabit sama dengan memberi upah antara RM5,000 hingga RM8,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shafee berkata, hasil siasatan awal juga mendapati dalang terbabit disyaki kemudian akan menjual semua daging sejuk beku yang dicuri, kepada seorang lelaki di Johor Bahru.

“Susulan itu, polis sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Sad bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.

Difahamkan, kumpulan itu memperoleh pulangan lumayan antara RM35,000 hingga RM50,000 melalui kegiatan berkenaan.

Keempat-empat suspek yang juga penganggur dengan memiliki rekod jenayah lampau itu kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");