Jenayah

Tebing runtuh akibat hujan lebat

tebing runtuhKee Chin (kanan) bersama Yoges (dua, kanan) melihat tanah runtuh yang berlaku semalam:-

SEREMBAN – Salakan anjing tidak henti-henti, petang kelmarin menyedarkan pemilik sebuah rumah di lorong 4-2/5 Taman Bukit Kepayang, dekat sini berhubung kejadian tanah runtuh di tebing bersebelahan.

Kejadian berlaku kira-kira 4 petang apabila pemilik rumah dikenali sebagai Yoges, 57, berkata, dia tertanya-tanya apabila anjing peliharaannya yang tiba-tiba menyalak dalam hujan lebat.

Pesara kerajaan itu berkata, ketika kejadian, dia sedang berehat di bahagian ruang tamu rumah, bagaimanapun mula mengesyaki sesuatu perkara berlaku apabila anjing peliharaannya menyalak tanpa henti.

“Jadi, saya pun keluar rumah untuk memeriksa apa yang terjadi sebelum terkejut melihat bahagian tebing longkang bersebelahan rumah telah runtuh teruk.

“Mungkin bunyi hujan terlalu kuat menyebabkan saya tidak dengar apa-apa bunyi,” katanya yang tinggal di situ sejak tujuh tahun lalu.

Yoges berkata, dia kemudian menghubungi pihak berkaitan untuk memaklumkan kejadian itu kerana bimbang perkara lebih buruk terjadi.

Menurutnya, kejadian sama pernah berlaku tahun lalu, namun ia tidak serius kali ini.

“Jika hujan berterusan dan tiada tindakan segera diambil pihak berkaitan, saya percaya keadaan lebih buruk boleh berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Sementara itu, Adun Bukit Kepayang, Cha Kee Chin yang melawat rumah Yoges, semalam berkata, hujan lebat menyebabkan pengaliran air agak kuat di bahagian tebing longkang sehingga berlaku runtuhan dan hakisan.

“Saya telah pun menghubungi pihak berkenaan untuk diambil tindakan. Kanvas perlu diletakkan segera di lereng tebing longkang ini bagi menggelakkan hakisan lebih teruk berlaku,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");