Isu Panas

Azmin puji Abdul Khalid

KLANG – Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali memuji gerak kerja bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beliau berjanji untuk meneruskan dasar peduli rakyat seperti amalan sebelum ini.

“Saya terlibat secara langsung ketika pentadbiran Abdul Khalid dan beliau telah letakkan asas yang baik dalam mentadbir sebuah kerajaan negeri.

“Sudah tentulah menjadi tanggungjawab saya untuk meneruskan dasar-dasar demi rakyat yang memberikan penekanan kepada soal pentadbiran yang adil dan memastikan kerajaan negeri ini benar-benar bersih, bertanggungjawab menjaga rakyat Selangor,” katanya.

Mohamed Azmin dalam sidang media pertamanya selepas Majlis Angkat Sumpah jawatan Menteri Besar berkata, beliau akan mencorakkan pentadbiran negeri dengan melaksanakan konsep Negeri Pembangunan yang berlandaskan amalan tata kelola yang baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban dengan memacu pertumbuhan ekonomi mampan dan menjamin pengagihan kekayaan secara adil kepada rakyat.

Sementara itu, Mohamed Azmin turut menafikan akan wujudnya jawatan timbalan menteri besar.

“Tidak… setakat ini perkara itu tidak berbangkit,” katanya.

Ketika diminta mengulas berhubung kelangsungan Perjanjian Utama Air, Mohamed Azmin berkata, beliau tidak maklum perincian kandungan perjanjian.

“Perjanjian air kita tak tahu kandungan. Bagaimanapun kita akan adakan perbincangan dengan pihak berkuasa dan Setiausaha Kerajaan Negeri berikan taklimat terperinci untuk lihat semua perjanjian air.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin menegaskan pentadbiran kerajaan negeri akan berpandukan Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, bukannya dikawal oleh mana-mana pihak.

“Saya tidak dikawal parti mahupun mana-mana pihak,” katanya.

Ketika diminta mengulas berhubung penyertaan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) selaku Exco, Mohamed Azmin berkata, penyertaan Wan Azizah dalam barisan Exco dibincangkan petang semalam.

“Kita akan mengadakan perbincangan pada petang ini (semalam) untuk melihat komposisi Exco PR dan Tuanku menitahkan supaya perkara ini dapat diselesaikan segera, ” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");