Jenayah

‘Jadi anak baik’

Seremban: “Baru semalam (kelmarin) kami membeli banyak perabot kerana rumah di Melaka yang sedang diubah suai akan siap tidak lama lagi,” kata Moed Salleh, suami kepada Allahyarham Mastura Abd Karim yang maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 250, Lebuhraya Utara-Selatan , arah utara berhampiran Senawang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.45 pagi itu, Mastura dan seorang lagi rakan, Ahmad Azlan Zakaria, 25, maut apabila Perodua Alza dinaiki merempuh belakang sebuah treler ketika mengelak Proton Saga yang terbalik di kanan laluan.

Difahamkan, Mastura, Ahmad Azlan dan dua lagi rakan, Mohd Khaire Fazlie Shah, 25, serta Amran Azmi, 22, yang bekerja sebagai ejen insurans dalam perjalanan bertemu pelanggan di Bangi, Selangor.

Moed, 53, berkata, sebelum keluar rumah jam 6 pagi semalam, Allahyarham meminta dia menggosok baju dan mengisi penuh minyak kereta selain menasihatkan tiga anak berusia antara empat dan 14 tahun supaya menjadi anak yang baik.

“Ketika berada di rumah di Taman Semabok, Melaka, saya menerima panggilan jam 8 pagi tadi (semalam) menyatakan isteri meninggal dunia akibat kemalangan,” katanya yang ditemui di Hospital Tuaku Ja’afar (HTJ) di sini, semalam.

Rakan sekerja Allahyarham Mastura yang mahu dikenali sebagai Anne, 27, berkata, Mastura lebih lama bekerja di syarikat insurans, namun mereka begitu akrab.

“Saya juga sepatutnya mengikut mereka ke Bangi, tetapi diganti Ahmad Azlan kerana saya ditukarkan dengan kumpulan lain,” katanya.
Anne berkata, apa yang menyebabkan dia terkilan dan sedih ialah Allahyarham Ahmad Azlan akan melangsungkan perkahwinan pada Mac tahun hadapan.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");