Sukan Hari Ini

AJFC tampil format baru

Kuala Lumpur: Ingin menampilkan kelainan berbanding tiga edisi sebelumnya, Kem Bola Sepak Remaja Allianz (AJFC) menampilkan format liga untuk memilih pemain remaja terbaik bagi menyertai kem bola sepak berkenaan di Munich, Jerman dan Bali, Indonesia, Ogos ini.

Jika sebelum ini, pemilihan dinilai berdasarkan skil individu, tetapi penganjur kem, Allianz Malaysia mahu pemain dinilai berdasarkan kemampuan bermain sebagai satu pasukan.

Liga berkenaan, dengan sasaran pemain lingkungan 14 hingga 16 tahun bakal berlangsung 11 April hingga 30 Mei dan pemain perlu hadir dengan membentuk pasukan sendiri yang terdiri daripada tujuh pemain.

Tiga venue menjadi lokasi pemilihan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, EduCity, Johor dan Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang sebelum 16 pasukan berentap di peringkat kebangsaan untuk menentukan juara.

Jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B Sathianathan yang mengendalikan pemilihan pemain nyata puas hati dengan perubahan format itu.

“Ciri-ciri yang kami cari adalah pemain yang mempunyai kemahiran bola sepak, kelajuan dan cepat berfikir. Saiz tidak penting,” kata beliau.

Namun beliau mahu melihat pemain remaja ini menunjukkan kesungguhan untuk bermain, bukan sebagai satu individu, tetapi sebuah pasukan yang tersusun.

“Saya mahu mereka belajar sukan ini sukan berpasukan, bukan individu. Saya kesan sebelum ini (kem terdahulu) ramai pemain tidak lengkap dari segi kecergasan dan pakaian. Ada yang datang tidak memakai but, hanya kasut getah,” katanya.

“Jika mereka datang sebagai satu pasukan, mereka akan mempunyai jersi dan menjalani latihan bersama.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad Zakri Khir berkata, pihaknya gembira dapat memberi pengalaman sekali seumur hidup kepada remaja berbakat di negara ini.

“Sepanjang tiga tahun lalu, Allianz Malaysia menempah kejayaan besar menerusi kem kami dan juga kualiti pemain yang menyertai kem antarabangsa AJFC,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");