Berita Hari Ini

Ketepikan budaya kerja silo

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa warga Kementerian Pendidikan supaya mengetepikan budaya kerja secara silo atau bekerja dalam komuniti sendiri kerana sikap sebegitu tidak membantu dalam melonjakkan sektor pendidikan negara.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan menegaskan peranan dan tanggungjawab Kementerian Pendidikan adalah amat berbeza dan lebih mencabar berbanding kementerian dan agensi lain kerana ia membabitkan aspek pembentukan perwatakan manusia.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua ketua jabatan dan agensi di bawah kementerian itu supaya bekerja sebagai satu pasukan dalam menjayakan amanah besar mewujudkan masyarakat berilmu dan berakhlak tinggi.

“Kita perlu elak wujudnya silo, malah ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah kementerian juga jangan jadi ‘Little Napoleon’ kerana sikap itu tidak membantu dalam membentuk satu pasukan kerja yang kukuh.

“Oleh sebab itu, saya ingin mengajak kita semua membentuk satu pasukan kerja yang kukuh supaya setiap amanah dapat dijayakan secara tersusun berasaskan budi dan tindakan terpuji,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Pendidikan di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan-timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching dan P Kamalanathan serta Ketua Setiausaha Datuk Dr Madinah Mohamad.

Muhyiddin berkata tanggungjawab menjadi lebih sukar kerana dalam proses itu, warga kementerian perlu melalui beberapa peringkat cabaran sebelum hasrat melahirkan manusia berilmu dan berakhlak tercapai

Untuk itu, katanya warga kementerian tidak boleh lagi bekerja sekadar dalam satu skim kementerian sebaliknya perlu mencakupi ekosistem yang lebih meluas meliputi kementerian, jabatan dan agensi lain kerana setiap daripadanya mempunyai peranan masing-masing yang perlu dijayakan secara bersama.

“Kita perlu jadi kementerian yang mengadunkan setiap komponen sama ada di dalam atau luar kementerian agar dapat bekerjasama untuk memastikan matlamat yang ditetapkan tercapai,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");