Perak Hari Ini

PKMM Negeri Perak Mampu Jadi Model Kepada Persatuan Lain

IPOH: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Perak dilihat berupaya menjadi model kepada persatuan kontraktor lain dalam menguruskan sektor pembinaan di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata kejayaan pihak persatuan dalam menyelesaikan isu berkaitan pemberian projek antara aspek yang boleh dicontohi.

“Difahamkan, PKMM Perak antara persatuan kontraktor contoh yang mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan.

“Kerjasama antara persatuan dan Kerajaan Negeri juga cukup baik.

“Jika selama ini kita dengar pelbagai masalah timbul dalam menentukan pemberian dan agihan projek di sesebuah negeri, tetapi PKMM Perak telah berjaya mengatasinya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Dermasiswa PKMM Negeri Perak di Hotel Casuarina @Meru di sini, hari ini.

PERAKTODAY (11)

Beliau berkata, kerjasama yang ditunjukkan oleh persatuan itu dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan juga wajar diberi pujian.

“Hari ini, PKMM Perak dapat bekerja sebagai satu pasukan yang baik, tiada agenda lain serta telus dalam memantapkan hubungan antara persatuan dan kerajaan negeri,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian serius terhadap penglibatan Bumiputera dalam sektor pembinaan di negeri itu.

“Justeru, kita di pihak kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan persatuan ini untuk membangunkan keupayaan penglibatan Bumiputera dalam sektor pembinaan dan yang berkaitan.

Sementara itu, beliau juga berkata, pendekatan yang diambil oleh ahli persatuan PKMM Perak untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan nyata cukup baik.

Katanya, ia menunjukkan keprihatian pihak persatuan terhadap golongan miskin untuk mendapat pendidikan yang lebih sempurna.

“Langkah menggunakan sebahagian daripada pendapatan ahli PKMM Perak untuk membantu golongan anak yang miskin meneruskan persekolahan merupakan satu langkah yang cukup baik.

“Diharapkan, lebih banyak persatuan atau pertubuhan lain sudi tampil ke hadapan untuk membantu golongan tersebut,” kata beliau lagi.

Terdahulu, seramai 108 pelajar terpilih daripada golongan kurang berkemampuan dari 10 daerah di Perak telah menerima biasiswa daripada PKMM Negeri Perak.

Setiap pelajar tersebut akan menerima biasiswa berjumlah RM100 sebulan bermula dari Januari hingga Disember nanti.

Replika cek berjumlah RM132,000 sumbangan daripada persatuan tersebut telah disampaikan oleh Yang Dipertua PKMM Perak, Datuk Wira Drs. Jamaludin Abdul Rahim kepada Pengarah Pendidikan Negeri, Rozi Puteh Ismail dengan disaksikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");