Membawang Hari Ini

Puteri Gunung Ledang masih sakti

IBARAT sebuah keraian yang diseru semula rohnya, dipanggil kembali jelatanya dan disambut bersahut-sahutan di sebuah perkampungan moden yang sudah berevolusi namun masih kekal dalam jiwa dan rasa yang sama. Itulah Puteri Gunung Ledang Reunion Concert; Rebirth of the Legend yang sudah sempurna dilaksanakan beberapa hari lalu.

Keagungan mahakarya yang pernah mencuri hati penonton pawagam sekitar 10 tahun lalu itu bukan calang-calang nilainya, malah kisah hikayat popular Melayu itu pernah sekali mendapat pengiktirafan di Festival Filem Asia Pasifik ke-50 selain Festival Filem Malaysia sendiri.

Kuatnya pengaruh jenama Puteri Gunung Ledang itu sendiri ironi kepada utuhnya harmoni yang dibina daripada akarnya. Manakan tidak, asas filem itu telah menyatukan seorang pengarah berbangsa Cina, Gusti Putri Retno Dumilah seorang mualaf, Laksamana Hang Tuah yang suatu ketika pernah berwarganegara Singapura dan si penulis skrip yang paling serasi dengan naskhah komedi hingga membentuk sebuah paduan yang sarat jiwa Melayu.

Beralih pula pada inisiatif menjelmakan naskhah unik itu ke dalam empat edisi pementasan teater bersifat muzikal pada tahun 2006 dan 2009 (termasuk sekali di Singapura) hingga beroleh sukses dan kemasyhuran sampai sekarang.

Konsert hibrid

Selepas ulang tahun ke-10 filem Puteri Gunung Ledang dan sang puteri sendiri, Puan Seri Tiara Jacquelina telah mengumumkan bakal merencanakan sesuatu buat pemuja naskhah tersebut sekitar hujung tahun lalu. Sejak dari tempoh itu juga debar dan teruja tidak henti berdendang.

Bagaimanapun khabar yang hampir mendukacitakan dan memaksa penangguhan Puteri Gunung Ledang Reunion Concert; Rebirth of the Legend ekoran masalah kesihatan Tiara secara tidak langsung meletakkan satu ekspektasi yang lebih tinggi dalam kalangan peminat naskhah tersebut.

Sesuai dengan nama dan sifat acara kali ini, Tiara telah membikin sebuah evolusi! Lebih santai, tidak perlu terikat protokol melampau dan audiens dihiburkan dengan seloroh bersahaja dalam kalangan pendukung utama tiga siri pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical sebelum ini.

“Konsert ini diadakan sempena meraikan ulang tahun ke-10 filem Puteri Gunung Ledang dan apresiasi kepada peminat setia naskhah tersebut yang pernah dijelmakan dalam bentuk pementasan teater muzikal sebelum ini. Ini merupakan konsert hibrid julung kali diadakan dan menariknya kami menyatukan kembali pasukan asal Puteri Gunung Ledang yang kali terakhir bekerja bersama sekitar enam tahun lalu,” jelas Tiara.

Wataknya masih sama, Tiara memainkan peranan Gusti Putri Retno Dumilah iaitu seorang puteri Jawa yang jatuh hati kepada Laksamana Hang Tuah (Stephen Rahman Hughes) dari Melaka. Pendamping setia Gusti Putri, Bayan (Ida Mariana) ditampilkan bersama termasuk dua tonggak utama Gusti Adipati Handaya Ningrat (Datuk AC Mizal) dan Sultan Mahmud (Adlin Aman Ramlie).

Persembahan kali ini mungkin menghampakan bagi peminat yang datang ke Istana Budaya dengan harapan untuk menyaksikan semula pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical yang lampau. Sebaliknya, konsert ini merupakan sebuah naskhah yang mengagumkan sekiranya dinilai daripada sudut pembaharuan dan konsep reunion itu sendiri.

Selain mengimbau sedutan menarik daripada filem dan teater muzikal, audiens sebenarnya dirayu untuk berhibur bersama. Justeru, tempat khas rock zone tersedia di bahagian paling hadapan pentas yang kelihatan gagal dimanfaatkan memandangkan persepsi peminat sebenarnya masih mahu menonton sebuah persembahan serius seperti sebelum ini.

Namun secara realistiknya, produksi ini tidak gagal memandangkan kelima-lima malam dan dua buah persembahan matinee (petang) pada hujung minggu lalu penuh panggung.

Perbezaan

Pembaharuan disuntik dalam keseluruhan susunan muzik oleh Roslan Aziz, individu sama yang pernah dipertanggungjawabkan menjadi pengarah muzik dalam produksi Puteri Gunung Ledang The Musical. Khidmat Raja Malek selaku pereka set pentas dan Pat Ibrahim sebagai koreografer diguna pakai semula untuk menterjemahkan idea reunion itu.

Kurang lebih 15 buah lagu dipersembahkan pada persembahan kali ini. Antara yang menjadi igauan hingga kini adalah susunan versi muzik dansa elektronik (electronic dance music, EDM) dalam lagu pembuka gelanggang, Asmaradana bersama aksi akrobatik Tiara yang turun dari puncak panggung.

Menerusi persembahan yang menyaksikan beliau menyarungkan persalinan serba putih itu, tidak terlampau jika gerak tari dan penataan seni pentas disifatkan umpama jelmaan penyanyi eksentrik Hollywood, Lady Gaga.

Audiens tidak dibiarkan menerawang sebaliknya emosi lama dikembalikan dalam beberapa buah lagu ikonik teater muzikal itu seperti Katakanlah, Keranamu Kekasih dan Di Puncak Tertinggi. Dalam segmen lagu-lagu tersebut, baik Tiara mahu pun Stephen kedua-duanya menyarung kembali persalinan mirip asal ketika pementasan enam tahun lalu.

Jiwa melankolik digaul bersama permainan set pentas dua buah stupa berbentuk tangga seperti pementasan asal yang berubah-ubah menjadi puncak gunung, kraton Jawa dan pintu gerbang.

Tiara turut menjemput audiens mengenang kembali lagu yang pernah menjadi runut bunyi filem Puteri Gunung Ledang, Bagaikan Sakti selain beberapa lantunan dialog popular daripada filem tersebut.

Stephen yang tampil dalam sosok tubuh baharu bagaimanapun tidak menghampakan apabila berjaya mempersembahkan lagu Kemasyhuran dalam versi ala Broadway dan ditukarkan lirik kepada bahasa Inggeris.

Selain itu, mutu vokal pelakon dari teater antarabangsa West End dalam lagu Cinta atau Setia saling tak tumpah seperti versi asal pementasan kesemua edisi lalu.

Cerita Stephen mengimbau kembali langkah awal dalam arena tempatan: Puteri Gunung Ledang telah banyak mengubah landskap dan perspektif kerjaya saya di Malaysia. Naskhah ini telah mendidik saya bertutur dan mengenali bahasa Melayu walaupun masih ada pelat yang sukar diubah.”

Pujian harus diberikan kepada pendukung watak Bayan iaitu penyanyi Jazz, Ida Mariana yang muncul bertenaga dalam lagu Sang Cinta dan Moga Temui Cinta (duet bersama Tiara) serta aksi memukau menggumam dikir bahasa Jawa dalam lagu Tinta Dewa yang diberi nafas rock.

Selain itu, pastinya keletah melucukan Gusti Adipati dan Sultan Mahmud yang dipadankan dalam busana tradisional bersadur moden menggamatkan panggung. Kedua-duanya mengalirkan tenaga luar biasa kepada audiens menerusi lagu Dewa Perang, Kehendakmu Kubantu (versi hip hop) dan Titah Sultan.

Seribu kali sayang

Bagaimanapun ada sedikit kekecewaan apabila perjalanan kisah cinta dan konflik Gusti Putri kali ini disudahkan sebelum sampai ke babak peminangan Sultan Mahmud. Kisah kali ini dihidangkan tanpa gesa amarah, dendam dan benci menerusi tujuh syarat peminangan yang sangat popular dengan hikayat Puteri Gunung Ledang.

Sebaliknya, konsert ditamatkan dengan kesudahan penyatuan Gusti Putri dan Hang Tuah yang akhirnya diangkat kembali ke langit.

Sedar atau tidak terdapat beberapa segmen dalam persembahan konsert kali ini agak kurang sensitif terhadap bait-bait lirik lagu yang dinukilkan misalnya lagu Melaka Terbilang. Secara kasar, negeri Melaka yang pernah menjadi pemula kepada tamadun Tanah Melayu, kedaulatan dan maruah paling tinggi tidak ditampilkan sepertimana puji-pujian dalam komposisi liriknya.

Sebaliknya, gerak tari mengghairahkan dan gedik oleh pemain utama dilihat kurang bersesuaian untuk konsert yang sekali gus mencalarkan kualiti persembahan ini. Adakah itu sebuah interpretasi baharu negeri Melaka yang sudah moden sekarang?

Namun di sebalik sedikit kekurangan itu, hakikatnya, naskhah mahakarya Puteri Gunung Ledang yang sudah sedia sebati dengan Tiara dan Enfinity Vision Media itu berjaya mengimbau sedikit sebanyak memori lebih 10 tahun lalu. Terima kasih kerana menjadikan hikayat ribuan tahun lalu sebagai sejarah yang sangat bermakna. Semoga lembar pedoman tentang keagungan, kedaulatan dan kekuasaan itu memeluk erat kemanusiaan kini.

-Kosmo

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");