Membawang Hari Ini

Opick terus berkarya

BAIT-BAIT lirik menyentuh perasaan yang menyedarkan kekuasaan Yang Maha Esa diiringi alunan muzik merdu adalah kekuatan utama karya-karya yang dihasilkan penyanyi ketuhanan dari negara seberang Indonesia ini.

Tidak hanya meletakkan muziknya kepada hiburan semata-mata, setiap karya dihasilkan umpama peringatan dan nasihat kepada pendengar kembali kepada pencipta.

Di kala peredaran muzik semakin mengembang, Opick masih bertahan malah berjaya meletakkan muzik ketuhanan di kelas tersendiri.

Bukan hanya di negara asalnya, muzik Opick turut menjadi buah mulut masyarakat di Malaysia.

Ini terbukti apabila kehadirannya mempersembahkan Konsert Religi Terhebat 2015 Opick Live Acoustic Sabtu lalu yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mendapat sambutan luar biasa.

Tepat jam 9.05 malam, konsert yang dinantinantikan mula membuka tirai dengan kemunculan pengacara Fedtri Yahya sebagai pengemudi acara.

Dewan yang dipenuhi 1,200 penonton mula memberi perhatian dengan persembahan pembukaan penyanyi Lah Ahmad dan The Muhibbin dengan mendendangkan tiga lagu iaitu Salam dan Cukuplah Bagiku.

Perhatian penonton mula tertumpu di pentas dengan persembahan istimewa barisan pemuzik dan lebih menarik pukulan gendang dengan percikan air berjaya memberi impak pada acara pembukaan itu.

Kemunculan Opick mendendangkan lagu Assalamualaikum dan Rumput Bertasbih memberi keceriaan kepada penonton yang hadir.

Tampil ringkas, Opick meneruskan persembahan dengan lagu Tafakur, Ya Nabi Salam, Salam Ya Rasullullah dan Dealova. Ternyata persembahannya tidak mengecewakan malah kehebatan vokal dimiliki Opick sudah dijangkakan. Tidak tampil keseorangan, Opick turut memeriahkan persembahan dengan mengundang puteri sulungnya, Ghaniya dalam menyampaikan lagu Sahabat Sejati dan Terima Kasih Ayah.

Suasana dewan bertukar sayu apabila seleksi lagu Cahaya Hati, Ingat-ingatlah, Ya Hannan Ya Manan, DenganMu Aku Tenang, Takdir, Bila Waktu Telah Berakhir dan Rapuh didendangkan.

Diselang-selang dengan persembahan nyanyian, Opick turut berkesempatan berkongsi kisah yang cukup menyentuh sehingga ada yang mengalirkan air mata.

Sebelum menyampaikan persembahan kemuncak, Opick memberi ruang kepada penyanyi jemputan, Daqmie menyampaikan tiga lagu iaitu Tangis Sebatang Tamar, Yang Terindah dan Ketika Cinta Memanggil.

Sebagai penutup, Opick menghiburkan penonton dengan lagu Ya Maulana

Yakin peranan muzik ketuhanan

Menyedari peredaran muzik kini kian berubah, Opick bagaimanapun masih yakin bahawa masyarakat masih memerlukan lagu ketuhanan dalam kehidupan harian.

“Keterbatasan tidak boleh membuat saya berhenti daripada berkarya untuk memberi manfaat kepada orang ramai.

“Saya percaya masyarakat masih perlukan muzik ketuhanan di mana ia juga mampu membuka ruang kepada kita untuk kembali kepada-Nya.

“Kalau kita lihat sekarang anak-anak kecil yang belum tiba masanya sudah mula menyanyi lagu-lagu cinta yang mungkin tidak sesuai dengan usianya dan di sinilah keperluannya muzik ketuhanan,” luahnya.

Tambah Opick, pada masa sama dirinya juga tidak meletakkan karya yang dicipta sebagai medium untuk mengaut keuntungan semata-mata.

“Di Indonesia ramai juga yang pelik melihat saya menghasilkan begitu banyak lagu ketuhanan sedangkan pasaran sekarang tidak menyebelahi muzik nasyid.

“Bagi saya, ini bukan masalah laku atau tidak, tapi saya harus bicara mengenai hal-hal yang baik dalam lagu-lagu saya.

“Selain menasihati diri sendiri, mungkin ia juga mampu beri inspirasi kepada pendengar lain,” tuturnya sambil tersenyum.

Berpuas hati

Mengakui persembahan konsert ini adalah sesuatu yang istimewa, Opick berpuas hati dengan sambutan yang diterimanya pada malam itu.

“Alhamdulillah, saya bahagia sekali kerana sambutan yang diberikan masyarakat di sini sangat bagus.

“Persembahan berjalan santai di mana dalam menghiburkan penonton dengan nyanyian, saya dapat juga berkongsi pengalaman, nasihat serta kisah-kisah yang mungkin boleh dijadikan tauladan,” kata Opick selepas tamat konsert.

Berpuas hati dengan sambutan yang diberikan penonton, Opick bagaimanapun tidak menolak sekiranya dia diberi peluang untuk sekali lagi menghiburkan peminatnya di sini.

“Saya berasa begitu dekat dengan Malaysia kerana di sini penghargaan yang diberikan terhadap muzik ketuhanan amat luar biasa.

“Insya-ALLAH dan saya juga berharap satu saat nanti saya bisa berbuat yang lebih bagus untuk masyarakat di sini,” ujarnya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");