Berita Hari Ini

Bebaskan Mursi, bantu Rohingya

KOTA BHARU – Pemuda Pas Kelantan berpendapat isu pelarian Rohingya dan hukuman mati terhadap bekas Presiden Mesir, Mohamed Mursi adalah perkara yang perlu mendapat pembelaan sewajarnya dari Malaysia.

Sehubungan itu, semalam Pemuda Pas Kelantan dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan perhimpunan “Bebaskan Mursi, Selamatkan Rohingya” secara aman di hadapan Masjid Muhammadi di sini.

Sebelum perhimpunan pihak masjid turut mengadakan solat hajat mendoakan keselamatan saudara seaqidah umat Islam di bumi Arakan, Myanmar yang sedang menghadapi episod penghapusan etnik oleh rejim junta Myanmar.

Dalam isu Rohingya, Ketua Pemuda Pas negeri, Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu mengadakan sidang tergempar.

Menurutnya, perdana menteri selaku Pengerusi Asean perlu tegas dan melakukan sedemikian bagi menyelesaikan kemelut umat Islam di Arakan, Myanmar yang telah ditindas dalam tempoh agak lama.

“Myanmar yang sedang menghadapi episod penghapusan etnik, jadi kita mahu kerajaan Malaysia memainkan peranan di peringkat Asean dan mendesak supaya Myanmar bertindak dengan penuh kemanusiaan.

“Kita juga mengharapkan ruang untuk perlindungan bagi tempoh tertentu kepada pelarian Rohingya sebagaimana pernah kerajaan Malaysia lakukan kepada pelarian perang di Kemboja satu ketika dahulu boleh disediakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, menyentuh mengenai hukuman terhadap Mursi pula, Pemuda Pas Kelantan mendesak kerajaan Malaysia menghantar nota bantahan kepada Mesir kerana menghukum bekas presiden yang dipilih secara sah.

“Kita juga mengutuk tindakan tidak demokratik kerajaan Mesir menggulingkan kerajaan yang sah melalui pintu belakang dengan mengetepikan lunas demokrasi,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");