Perak Hari Ini

Istiadat Pertabalan Sultan Perak Ke-35: Raja Muda Zahir Ucapan Tahniah

KUALA KANGSAR: Raja Muda Perak,Raja Jaafar Raja Muda Musa bertitah mewakili pihak Raja-Raja dan Orang Besar Perak Darul Ridzuan serta kaum kerabat Diraja mempersembahkan ucapan tahniah dan taat setia sempena pertabalan istiadat pertabalan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini.

Titah baginda, pertabalan Sultan Perak ke-35 adalah mengikut adat kesultanan Melayu negeri Perak yang telah termaktub dalam undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak bahagian kedua.

“Negeri Perak telah diamanahkan kepada kesultanan terdahulu dan kini kebawah Duli Paduka Anakanda adalah merupakan penaung yang memayungi sekalian rakyat jelata.

“Pedang cura Simanja kini yang disandang oleh Anakanda merupakan lambang darjah kebesaran untuk menerajui bahtera negeri ini kearah yang berpaksikan agama Islam serta menjadikan negeri ini yang termasyhur dan dipenuhi keadilan serta kesaksamaan,” titah baginda.

Baginda bertitah lagi, kesemua kaum kerabat Diraja berangkat ke istiadat ini bagi menyembahkan setinggi-tinggi tahniah dan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Sultan Nazrin sebagai Sultan Perak ke-35.

Baginda juga menzahirkan ucapan tahniah kepada DYMM Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim yang telah dikurniakan sebagai Raja Permaisuri Perak.

Raja Jaafar turut menzahirkan perasaan syukur diatas perlantikan serta pertabalan Sultan Nazrin sebagai Sultan Perak pada hari ini.

“Patik yakin bahawa Paduka Anakanda boleh melaksanakan kehendak amanah yang besar ini, tanggungjawab yang berat dan mencabar sebagai raja berpelembagaan,” titahnya lagi.

Terdahulu Sultan Nazrin Shah telah ditabalkan menjadi Sultan Perak ke-35 dalam istiadat pertabalan Sultan Perak XXXV di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar di sini hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");