Jenayah

Kantoi berjudi

TAPAH – Seorang wanita warga China termasuk 11 lelaki warga tempatan ditahan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah ketika sedang leka bermain judi di sebuah pondok dalam kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Kuala Bikam, Bidor, di sini, 11 Jun lalu.

Tangkapan kira-kira jam 6.30 petang itu, dilakukan hasil maklumat orang awam dan risikan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, ketika pegawai dan anggotanya sampai di tempat kejadian, beberapa orang berkumpul dan dipercayai sedang bermain judi.

Menurutnya, kesemua suspek cuba melarikan diri, namun gagal selepas berjaya ditahan pegawai dan anggota bertugas.

“Hasil pemeriksaan di tempat serbuan, kita menemui barang kes yang disyaki digunakan bagi melakukan aktiviti perjudian judi kayu hitam atau lebih dikenali sebagai Pai Kow di aras meja bersama wang tunai,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah dan Terima Tugas Timbalan Ketua Polis IPD Tapah, di sini, semalam.

Kesemua yang ditangkap dituduh di Mahkamah Majistret Tapah dan dikenakan hukuman denda sebanyak RM2,200 seorang kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Som Sak berkata, kegiatan seumpama ini dipercayai sering berubah tempat dari masa ke semasa bagi mengelak dihidu pihak polis, bagaimanapun dengan kerjasama orang awam kegiatan ini dapat dibanteras.

Dalam majlis itu, Deputi Superintendan Johari Jahaya yang sebelum ini bertugas di IPD Rompin Pahang dari 2008 hingga 2015 dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah yang baharu.

Sebelum ini, jawatan itu dipangku oleh Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah IPD Tapah, Asisten Superintendan Md Nasri Fadzir.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");