Sukan Hari Ini

Melampau!

Petra Jaya: Bas yang membawa pemain FELDA United dibaling penyokong Skuad Bujang Senang dengan objek keras ketika keluar dari pagar utama Stadium Negeri selepas menewaskan Sarawak 2-0 pada saingan Liga Super, kelmarin.

Sekumpulan penyokong tuan rumah mencetuskan provokasi itu selepas sukar menerima kekalahan selain tidak berpuas hati dengan persembahan tidak konsisten tuan rumah.

Di stadium pula, segelintir penyokong turut bertindak liar melontar puluhan mercun ke dalam padang sebagai protes dengan aksi hambar pasukan mereka.

Jurulatih Sarawak Robert Alberts kecewa dengan sikap segelintir penyokong yang bertindak liar melakukan provokasi sehingga menimbulkan kekecohan selepas perlawanan Sabtu lalu itu.

Menurutnya, sebagai penyokong, mereka mesti sentiasa menyokong pasukan dan badan induk bola sepak negeri, Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS).

“Memang tidak dinafikan adakalanya kita rasa tidak puas hati, tetapi ada batas dan cara untuk menyuarakannya.

“Tindakan keterlaluan seperti ini tidak adil, malah ia mengancam keselamatan orang ramai yang datang ke stadium untuk menyaksikan perlawanan, terutama kanak-kanak,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan, kelmarin.

Dalam pada itu, Alberts menegaskan Sarawak masih belum mahu menekan butang panik ekoran kekalahan itu dan akan mencari formula kemenangan bagi membaiki kedudukan liga.

Beliau berkata, pasukannya tidak bernasib baik untuk mencipta gol walaupun pemain sudah melakukan yang terbaik.
“Sepatutnya kita boleh seri atau menang sekali pun pelawat dilihat lebih banyak menguasai perlawanan, lebih-lebih lagi ketika mereka (FELDA United) terlebih dahulu menjaringkan gol.

“Perkara sebegini sememangnya berlaku, ada masa kita menang dan ada masa kita kalah, kita perlu menerima keputusan ini,” katanya.

Kecundang dalam aksi ke-13 itu adalah kekalahan kedua berturut-turut buat Sarawak sebaik tirai pusingan kedua Liga Super bersambung.

Ketika ini, Sarawak kekal di tangga kesembilan liga dengan 13 mata dan akan menentang skuad Penyu di Kuala Terengganu, 4 Julai ini.

– http://www.hmetro.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");