Jenayah

Bahana hutang RM4,000

KUALA TERENGGANU – Gara-gara berhutang RM4,000, seorang kontraktor bukan sahaja hampir kehilangan dua buah kereta, malah turut diugut akan dibunuh atau dicederakan sekiranya masih gagal menjelaskan hutang dalam tempoh ditetapkan.

Kejadian berlaku di Kampung Mak Chili, Kemaman, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, mangsa yang berusia 36 tahun telah meletakkan dua buah kereta miliknya di salah sebuah kedai menjual kenderaan terpakai untuk dijual, sebulan lalu.

Bagaimanapun, katanya, pada hari kejadian, seorang lelaki telah datang ke kedai memperkenalkan diri sebagai rakan mangsa sebelum meminta kunci salah sebuah kereta milik mangsa dengan alasan untuk dipandu uji.

“Lelaki tersebut menyakinkan pemilik kedai yang dia akan memaklumkan kepada mangsa sendiri selepas dipandu uji, memandangkan dia mendakwa merupakan rakan baik mangsa.

“Yakin dengan alasan diberi, pemilik kedai telah menyerahkan kunci yang diminta tanpa banyak soal,” katanya.

Wan Abd Aziz berkata, pada petang hari sama pula, datang lagi tiga lelaki tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai Penguatkuasa Hal Ehwal Pengguna sebelum meminta kunci sebuah lagi kereta milik mangsa.

Jelasnya, tanpa menunjukkan sebarang surat rasmi yang mengarahkan kenderaan itu perlu dirampas, ketiga-tiga suspek terus mengambil kunci kereta daripada pemilik kedai.

“Terkejut dengan tindakan drastik itu, pemilik kedai terus menelefon mangsa dan menceritakan kedua-dua kejadian berkenaan.

“Mangsa kemudiannya berusaha mendapatkan semula kedua-dua buah kereta miliknya dengan menghubungi rakannya, sebelum mengambil keputusan berjumpa dengan mereka pada sebelah malam, hari sama,” katanya.

Menurutnya, hasil perbincangan dengan kesemua suspek, mangsa yang mempunyai hutang sebelum ini bersetuju akan membayar semula hutang tersebut dalam tempoh yang ditetapkan.

“Siasatan awal mendapati, suspek bertindak mencuri dua buah kereta milik mangsa untuk dijadikan cagaran jika mangsa gagal menjelaskan hutang.

“Namun, selepas rundingan secara baik, kesemua mereka bersetuju menyerahkan semula kenderaan tersebut dengan syarat mangsa perlu membayar hutang dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Wan Abd Aziz berkata, suspek turut mengugut mahu membunuh atau mencederakan mangsa jika gagal menjelaskan hutang dalam tempoh yang dijanjikan.

Bimbang keselamatan dirinya pada masa akan datang, mangsa nekad membuat laporan polis.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");